SEMASA

229 Kematian Dalam Tempoh Dua Minggu Op Selamat 15

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Op Selamat ke-15 sempena Aidilfitri merekodkan lapan lagi kematian semalam, menjadikan keseluruhan 229 kematian dalam tempoh 14 hari sejak operasi itu bermula pada 29 Mei lepas.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata jumlah kemalangan turut meningkat kepada 22,852 dalam tempoh sama dengan 213 kes membabitkan kemalangan maut.

Beliau berkata, Selangor dan Johor mendahului jumlah kematian paling ramai membabitkan 37 orang diikuti Perak (24), Kedah dan Pahang (masing-masing 18), Kelantan (17), Sabah (16), Sarawak (15), Terengganu (12), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

“Selangor masih mencatat jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 5,949 kemalangan, diikuti Johor (3,550), Kuala Lumpur (2,629), Perak (1,958) dan Pulau Pinang (1,835).

“Sepanjang dua minggu Op Selamat ke-15, sebanyak 4,195 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 319,576 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi kejadian pecah rumah dan premis pula, beliau berkata sebanyak 730 kes dilaporkan di seluruh negara dengan bilangan tertinggi membabitkan kes pecah kediaman (494), diikuti pecah kedai (119), pecah pejabat (63) dan pecah kilang (16).

-- BERNAMA

Kongsikan: