Uncategorized

Adib Tidak Sedarkan Diri Semasa Dibawa Ke Hospital – Saksi

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) — Seorang bekas anggota tentera memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa arwah Muhammad Adib Mohd Kassim berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dimasukkan ke dalam kenderaannya semasa kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Mohd Hafisan Nordin, 33 yang pernah bertugas sebagai pembantu perubatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, terdapat kesan-kesan lebam biru di bahagian rusuk kanan hingga ketiak Muhammad Adib.

“Ketika itu arwah tidak sedar, saya cuba cakap dengan dia tapi denyutan nadinya rendah,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah selaku pegawai pengendali inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Hafisan berkata sebelum itu beliau diberitahu oleh seorang wanita agar tidak melalui  arah kuil berkenaan kerana risau beliau akan dipukul.

“Saya diberitahu jangan masuk, nanti kena pukul. Ketika wanita itu memberitahu saya, saya ada mendengar suara jeritan meminta tolong hantar arwah ke hospital. Saya nampak kira-kira tujuh orang mengusung arwah dan meminta tolong hantar ke hospital. Tapi masa itu, saya pun rasa macam 50-50, nak masuk ke tak nak,” katanya.

“Ada yang berkumpul di tepi-tepi jalan. Tapi, saya pun turun daripada kenderaan Mistubishi Storm dan memasukkan arwah di bahagian bucket (belakang kenderaan). Ketika itu, arwah tidak memakai baju dan kasut, hanya seluar celoreng sahaja dia pakai,” tambahnya.

Zafran: Ada sesiapa ikut kamu ke hospital?

Mohd Hafisan: Ya, saksi kesembilan R. Narresh ikut saya. Dia duduk di bahagian belakang dengan arwah.

Zafran: Adakah kamu tanya apa yang berlaku terhadap Adib?

Mohd Hafisan: Saya diberitahu oleh Narresh bahawa arwah cedera. Dia (Narresh) beritahu dia (Narresh) telah menghalang perusuh, namun mereka pukul Adib beramai-ramai. Dia cakap anggota bomba pun nak pukul, tiada berperikemanusian.

Zafran: Kamu ada nampak kecederaan di bahagian kaki arwah?

Mohd Hafisan: Tidak nampak, sebab arwah pakai seluar. Saya nampak di bahagian rusuk dan ketiak.

Menjawab soalan peguam Ahmad Taufiq Baharum yang mewakili keluarga arwah bagaimana beliau  tahu denyutan nadi arwah rendah, Mohd Hafisan berkata beliau tahu denyutan nadi arwah rendah kerana beliau pernah bekerja sebagai pembantu perubatan ketika berkhidmat di ATM.

“Ketika saya bekerja sebagai pembantu perubatan di ATM, kerja saya adalah merawat anggota cedera dan memberi pertolongan cemas. Sebab itulah saya tahu denyutan nadi arwah rendah.

Berdasarkan andaian saya, saya rasa arwah cedera sebab mungkin dipukul menggunakan objek tumpul, tangan atau tapak kasut yang keras,” katanya.

Terdahulu, R. Narresh, saksi kesembilan berkata beliau berasa amat sedih kerana tidak dapat berjumpa Muhammad Adib selepas arwah dimasukkan ke hospital.

“Saya rasa sedih bila dapat tahu kematian Adib. Saya tak kenal arwah sebelum ini, tapi saya berharap arwah akan bangun dan tengok saya. Saya pergi ke Alor Setar untuk pengebumian arwah tapi sebelum saya sampai semua urusan sudah habis. Saya naik kereta api, bas dan Grab untuk pergi ke pengebumian,” katanya.

Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu berkata  sebagai seorang saksi dalam kes tersebut,  beliau rasa amat kesal dengan kritikan netizen di media sosial.

“Sebagai seorang saksi, kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal berdepan dengan kemungkinan, dalam kes ini saya berdepan dengan ancaman mental. Jangan cakap bukan-bukan, kita hanya perlu keadilan untuk arwah,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, mengalami cedera parah dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok  pagi.

–BERNAMA

Kongsikan: