SEMASA

Anak-Anak OKU Capai Impian Di Mimpi Perhentian Resort

Oleh Sri Wazni Asahar

BESUT, 17 Okt (Bernama) -- Bagaimana agaknya perasaan jika selama ini hanya mendengar tentang keindahan Pulau Perhentian yang disebut-sebut antara yang tercantik di Malaysia tanpa berpeluang menyaksikannya sendiri?

Apatah lagi, kalau diri anak jati Terengganu termasuk golongan kanak-kanak, disebabkan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Menyedari kekurangan ini, Mimpi Perhentian Resort dengan sekumpulan sukarelawan Diveheart, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, berganding bahu untuk merealisasikan impian lima orang kanak-kanak daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), berusia antara 10-12 tahun, untuk mengalami sendiri keunikan dan keindahan dasar laut di Pulau Perhentian Kecil.

Kanak-kanak itu, Muhammad Arif Aiman Zainuddin, Mohammad Syamim Haikal Mustafa, Ahmad Dzul Syahmi Ahmad Dzulkarnain, Muhamad Shahmi Azri Mohd Shahir, dan Mohamad Amal Mukhriz Mohamad adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Besut.

Program Selam Skuba Khas Bagi Kanak-kanak OKU yang cacat pendengaran ini turut mendapat sokongan Majlis Daerah Besut, Terengganu.

RASA TERUJA

Diiringi empat orang guru, kanak-kanak berkenaan kelihatan begitu gembira sebaik sahaja menjejakkan kaki di jeti Kuala Besut, sebelum dibawa menaiki bot laju khas ke Pulau Perhentian.

Penyertaan kanak-kanak istimewa ini dalam sukan ini adalah yang pertama kali dalam hidup mereka selepas diberi peluang oleh pihak pengurusan Mimpi Perhentian Resort.

Pusat peranginan ini dibuka pada 2018 dan adalah satu-satunya hotel bertaraf empat bintang di Pulau Perhentian.

Ketibaan pelajar istimewa ini disambut oleh Duta Diveheart Malaysia dan Pengasas Pusat Selam Skuba Kanak-kanak Malaysia, Syed Abdul Rahman Syed Hassan. Beberapa orang kakitangan Mimpi Perhentian Resort turut berada di jeti Pulau Perhentian.

Kanak-kanak itu seterusnya diraikan dalam satu majlis perasmian yang dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ahmad Azizi Zulkifli, sebelum diberikan latihan asas menyelam skuba di kolam renang Mimpi Perhentian Resort.

PROGRAM UNTUK PELAJAR ISTIMEWA

Ahmad Azizi dalam ucapannya di majlis perasmian itu berkata pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat dalam menganjurkan program yang membabitkan pelajar istimewa, terutamanya anak tempatan daripada golongan B40.

"Pendedahan seperti ini dalam masa yang sama memberi sinar baharu kepada peserta dalam menentukan minat dan bidang yang akan diceburi apabila mereka dewasa kelak.

“Apabila kita di dalam air, kita semua adalah sama. Pihak kami mengharapkan supaya lebih ramai individu atau syarikat yang dapat menganjurkan program seumpamanya pada masa akan datang di daerah Besut untuk terus memberikan harapan kepada golongan muda ini,” katanya.

Menurut beliau, program berkenaan juga diharap dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda untuk sentiasa berfikiran positif, memasang cita-cita yang besar dan percaya kepada kebolehan diri, sepertimana moto Diveheart iaitu bayangkan segala kemungkinan atau imagine the possibilities.’

Sementara itu, Pengurus Operasi Mimpi Perhentian Resort, Matthew Sangilos berkata pihaknya berbesar hati kerana Diveheart Malaysia bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan kanak-kanak OKU berkenaan.

Jelas beliau, perancangan selama beberapa bulan ternyata lebih bermakna apabila usaha pihak Mimpi Perhentian Resort mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak terutamanya Majlis Daerah Besut.

KURANG PENDEDAHAN

Dalam pada itu, ketika ditemui Bernama Radio, Guru Penolong Kanan 1 SK Pendidikan Khas Besut, Malisa Hussin berkata penganjuran program seperti ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh pihak sekolah.

Menurut beliau, ini memandangkan pelajar OKU selama ini kurang mendapat pendedahan yang meluas lebih-lebih lagi seperti sukan selam skuba.

“Murid-murid sendiri memanglah saya tengok terlalu teruja dan seronok kerana yang pertama, dapat menjejakkan kaki di Pulau Perhentian yang terkenal di daerah Besut.

“Yang kedua, mereka mendapat pengalaman baharu iaitu menyelam skuba dan sekaligus mendapat sijil. Mereka berasa ini satu pengiktirafan buat diri mereka,” jelas Malisa.

DIVEHEART MALAYSIA

Sementara itu, mengulas mengenai Diveheart Malaysia, Syed Abdul Rahman berkata pertubuhan bukan kerajaan itu bertapak di Malaysia sejak 2014.

Diveheart Malaysia dengan Kids Scuba Malaysia terlibat secara aktif dalam melatih OKU sejak 2015. Sehingga kini, pihaknya telah membantu dan melatih lebih 30 OKU.

Program Latihan Skuba di kolam renang diadakan setiap bulan dengan kerjasama sukarelawan Diveheart, Profesor dan Doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, Unit Pemulihan PPUM di Jabatan Rehabilitasi untuk Pesakit Paraplegic Spinal Cord Injury (SCI).

Justeru katanya, pemilihan Diveheart Malaysia untuk sama-sama merealisasikan mimpi kanak-kanak OKU dari SK Pendidikan Khas Besut berkenaan adalah amat tepat.

“Program ini merupakan yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh sebuah syarikat korporat di Malaysia. Saya berharap supaya ia dapat memberikan inspirasi kepada banyak lagi pihak untuk membuka ruang kepada komuniti istimewa ini.

“Saya seterusnya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuklah anggota sukarelawan Diveheart Malaysia untuk memastikan program ini berjaya, " katanya.

Menurut Syed Abdul Rahman, program seumpama ini akan terus menjadi jambatan dalam merapatkan jurang pemahaman dan keserasian antara satu sama lain dalam masyarakat.

“Sekiranya semua pihak, tidak kira sama ada cacat atau tidak, dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program seperti hari ini, tidak mustahil kita semua dapat merealisasikan imaginasi golongan ini untuk masa depan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat, Diveheart banyak membantu komuniti OKU seperti cacat pendengaran dan penglihatan, kehilangan anggota badan serta veteran perang yang mengalami saraf tunjang.

Di Malaysia, organisasi ini dibantu oleh Kidsscuba, sebuah pusat selam skuba kanak-kanak yang diiktiraf PADI (Persatuan Pengajar Menyelam Profesional) 5 Bintang, yang menyediakan kemudahan termasuk peralatan menyelam skuba.

Kedua-dua organisasi tersebut membantu melatih komuniti OKU dalam aktiviti selam skuba di sekitar Malaysia dengan latihan khas Adaptive Techniques Specialty Training, PADI.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA

Kongsikan: