SEMASA

Anggota Kumpulan Jenayah Terancang “Emi Keju” Akan Didakwa Di Bawah SOSMA

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Anggota kumpulan jenayah terancang ‘Emi Keju’ yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata SOSMA digunakan bagi mendakwa penjenayah itu di mahkamah ialah disebabkan undang-undang biasa tidak dapat melumpuhkan kumpulan tersebut kerana mereka berpeluang dibebaskan dengan ikat jamin.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah beberapa kali menahan anggota kumpulan berkenaan namun apabila didakwa di mahkamah, mereka memperoleh ikat jamin menyebabkan penjenayah itu bebas sehingga boleh menghilangkan diri selain kembali melakukan jenayah.

“Ketua kumpulan ‘Emi Keju’ dan 18 anggotanya berumur 20 hingga 38 tahun akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok di bawah Seksyen 130V dan Seksyen 130W SOSMA kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu mencapai kepentingan mereka.

“Kumpulan ini jika kita tidak dibanteras sekarang, akan menjadi lebih berbahaya kerana mereka melakukan jenayah dengan teratur dan teliti. Jika dibiarkan, mereka boleh menjadi lebih berbahaya dari Geng Mamak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 23 Jun lepas, polis menahan ketua kumpulan jenayah terancang berumur 32 tahun itu di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur. Kumpulan berkenaan dipercayai terlibat dalam 50 kes samun bersenjata di Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan melibatkan kerugian sekitar RM4 juta.

Huzir menambah, sejak 2017 hingga kini, seramai 17 anggota kumpulan jenayah terbabit ditahan namun dianggarkan ia mempunyai keanggotaan sekitar 25 orang.

Katanya, dalam beberapa operasi khas membanteras kumpulan itu, polis turut merampas tiga laras pistol angin jenis Beretta, Walther dan Glock 19; barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM150,000 serta menyita dua kereta jenis Honda City dan Honda Accord selain membekukan akaun bank yang mengandungi wang berjumlah RM15,550.23 dipercayai hasil samun.

Dalam perkembangan lain, Huzir memberitahu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sedang menyiasat dakwaan bahawa anggotanya lewat tiba di lokasi satu kejadian samun di Taman New Green Park, Rawang dekat sini pada 5 Ogos lepas.

Katanya, siasatan awal mendapati anggota bertugas tiba di lokasi tersebut lebih awal daripada didakwa mangsa samun tetapi mereka memeriksa rumah yang salah.

“Nombor rumah di kawasan perumahan berkenaan (yang dibina di atas tanah-tanah lot) adalah tidak teratur. Anggota bertugas memang menjumpai kawasan perumahan dan lorong rumah yang disamun itu. Namun, ketika mencari rumah mangsa, anggota terlihat sebuah rumah yang pagarnya terbuka dengan lampu terpasang. Mereka beranggapan itulah rumah yang dipecah masuk.

“Bagaimanapun, ketika polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap rumah itu dan seorang daripada anggota telah pergi ke belakang rumah untuk mengepung penjenayah, beliau ternampak mangsa berlari (dari rumah lain) ke arahnya meminta tolong," katanya.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua anggota polis terlibat akan ditukarkan ke bahagian lain susulan kejadian ‘salah lokasi’ itu, Huzir berkata pihaknya masih menunggu siasatan yang dijalankan.

-- BERNAMA

Kongsikan: