SEMASA

Badminton : Malaysia Hadapi Tugas Sukar Menangi Pingat Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) – Berdasarkan kepada prestasi semasa pemain, Malaysia berhadapan tugas sukar menangi pingat dalam acara Badminton pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata bekas pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.

“Berdasarkan prestasi semasa, yang tidak begitu baik. Saya fikir bukan saya sahaja mengatakannya. Tetapi banyak yang boleh berlaku dalam tempoh 18 bulan. Kita semua lihat pada Olimpik Rio 2016, mereka (pemain Malaysia) bersedia dengan baik dan memberikan keputusan yang baik di Rio.

“Apa pun boleh terjadi. Pada masa ini ia kelihatan sukar tetapi saya yakin apabila mereka semakin hampir ke tahun 2020, semua pemain akan beraksi dengan baik. Setiap orang mempunyai peluang,” kata Frost ketika ditemui pada majlis pelancaran Pocket Spine Doc, aplikasi mudah-alih terkemuka dunia bagi penilaian dan rawatan tulang belakang di sini hari ini.

Frost, yang merupakan bekas pemain badminton nombor satu dunia, dipilih sebagai duta kepada aplikasi mudah alih itu yang dilancarkan di seluruh dunia, hari ini.

Beliau berkata tempoh 18 bulan hingga ke​​​​ Sukan Olimpik 2020 merupakan satu tempoh yang singkat bagi semua pemain muda untuk layak.

 

“Adalah menarik untuk melihat sama ada pemain muda mampu beraksi dengan baik dalam tempoh yang singkat kerana 18 bulan adalah satu masa yang singkat apabila melihat kepada prestasi pemain muda.

“Jadi ia merupakan sesuatu yang menarik untuk melihat sama ada pemain muda seperti Lee Zii Jia (pemain perseorangan lelaki negara) boleh menjadi pencabar di Olimpik 2020,” katanya.

Frost juga menyatakan bahawa acara badminton di Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi lebih sengit lagi apabila sukan itu kini tidak lagi didominasi oleh satu negara.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa negara lain juga bekerja keras, bukan sahaja Malaysia, tetapi bakat ada di mana-mana di seluruh dunia. Sekarang kita dapat lihat dalam acara perseorangan wanita, Sepanyol menghasilkan juara Olimpik dan juara dunia, di mana 20 tahun lalu, perkara ini tidak terjadi.

“Persaingan di seluruh dunia menjadi jauh lebih hebat, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa saya telah bekerja keras dan saya berhak menang,” katanya.

Mengulas mengenai dua pemenang pingat perak Olimpik – Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) – yang meninggalkan BAM baru-baru ini tetapi masih memerlukan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) Frost berkata, ia perlu menjadi situasi menang-menang

“Jelas sekali, apa juga keputusan yang dibuat, keutamaan adalah untuk negara. Saya fikir ia adalah sangat penting untuk mencuba dan mewujudkan situasi menang-menang. Menang untuk negara… Mungkin mereka boleh sertai latihan bersama atau berasingan. Tetapi apapun keadaannya mestilah berikan manfaat pada negara,” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan: