SEMASA

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Rafizi dan Pemilik Portal Berita

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik saman fitnah mereka  terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita berhubung subsidi minyak.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Mohd Rafizi memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail.

Ranjit berkata mahkamah memerintahkan pasangan suami isteri itu membayar kos berjumlah RM20,000 kepada Mohd Rafizi dan pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong selaku defendan dalam kes saman berkenaan.

Peguam itu berkata sepatutnya kes itu ditetapkan untuk perbicaraan  minggu hadapan tetapi peguam yang mewakili Najib dan Rosmah memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa kedua-dua plaintif ingin menarik balik saman berkenaan.

Ranjit berkata kedua-dua defendan juga telah menarik balik tuntutan balas terhadap kedua-dua plaintif tanpa sebarang kos dikenakan oleh mahkamah.

Peguam  Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah turut mengesahkan kedua-dua anak guamnya telah menarik balik saman terhadap kedua-dua defendan. Prosiding itu turut dihadiri peguam Joanne Leong mewakili Chan.

Najib dan Rosmah memfailkan saman itu pada 16 April 2015, mendakwa Mohd Rafizi, yang ketika itu  anggota Parlimen Pandan telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 22 Nov 2014.

Mereka juga mendakwa Chan telah berkongsi rakaman itu di dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Mereka berkata Chan telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dengan tidak mengesahkan atau menyiasat kesahihan tuduhan-tuduhan di dalam kenyataan itu sebelum menyiarkannya dan  menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, faedah dan kos.

Pada 20 Jun 2017, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Mohd Rafizi dan Chan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembelaan mereka bagi komen yang adil dalam  kes saman itu.

Bagaimanapun  pada 23 April 2018,  Mohd Rafizi dan Chan menarik balik rayuan mereka berhubung pembelaan mereka itu dan  Mahkamah Persekutuan kemudiannya membatalkan rayuan mereka.

Ini adalah kali kelima Najib bertindak untuk tidak meneruskan samannya, selepas beliau menarik balik samannya, masing-masing terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik pada 22 Mei serta Anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong pada 28 Mei berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 1 Jun lepas, beliau juga telah menarik balik saman yang difailkannya terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu sama iaitu 1MDB manakala pada  20 Jun lepas, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh menarik balik saman fitnah terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan dua yang lain berhubung siri posting pembaca yang diterbitkan dalam portal itu pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hafarizam memberitahu pemberita bahawa beliau akan bertindak sebagai  peguam di dalam empat Petisyen Pilihan Raya membabitkan kerusi Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan Parlimen Jempol di Negeri Sembilan serta DUN Telok Mas, Melaka.

— BERNAMA

Kongsikan: