SEMASA

Belanjawan 2020: Bantuan Subsidi Petrol Diperluaskan Kepada M40

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan turut memasukkan kriteria penerima baru yang layak menerima  bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan hari ini, berbanding hanya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini.

PSP kini juga akan dinikmati oleh rakyat berpendapatan sederhana dalam kategori M40 dan memiliki kenderaan tidak melebihi dua buah kereta dan dua buah motosikal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berkata kenderaan yang dimiliki harus menepati kriteria yang ditetapkan iaitu kereta 1600cc dan ke bawah atau kereta melebihi 1600cc yang berumur 10 tahun dan ke atas, dan/atau motosikal 150cc dan ke bawah atau motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas.

“Selepas pengumuman PSP Isnin lepas, kementerian telah menerima banyak maklum balas daripada rakyat, dan antara maklum balas yang paling popular adalah gesaan untuk memasukkan golongan berpendapatan dalam kategori M40 sebagai golongan yang layak menerima bantuan subsidi petrol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya bagi golongan penerima BSH, kriteria kelayakan penerima masih kekal seperti mana yang diumumkan iaitu memiliki maksimum dua buah kereta dan dua buah motosikal yang menetapi kriteria kenderaan yang ditetapkan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Belanjawan 2020 kerana prihatin dan responsif terhadap cadangan rakyat. Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan Program Subsidi Petrol berjalan lancar dan menepati objektif yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata bermula Januari 2020, PSP bersasar akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

Pertama bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal.

Bagi  kategori kedua ialah semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, yang akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

PSP yang diumumkan Isnin lalu hanya melibatkan kira-kira 2.9 juta penerima BSH berkenderaan di Semenanjung Malaysia, tetapi dengan pengumuman dalam Belanjawan 2020 hari ini,  ia akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.

-- BERNAMA

Kongsikan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *