SEMASA

Belanjawan 2020 Bukti Kedudukan Kewangan Negara Kukuh – PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2020 yang menyediakan peruntukan tambahan kepada pelbagai sektor membuktikan kedudukan kewangan Malaysia masih kukuh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pembentangan Belanjawan 2020 bertema ’Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’ itu menepis dakwaan ramai bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mentadbir negara dengan baik.

"Ramai berpendapat kerajaan Pakatan Harapan tidak berpengalaman dan tidak mungkin mentadbir negara dengan baik, tetapi peruntukan tambahan diberi kepada semua pihak.

“Kedudukan kewangan masih kukuh, kita juga tidak ada non-perfoming loan (hutang yang tidak dibayar)," katanya pada sidang media selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020, yang memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan Belanjawan 2020 meningkat RM19.5 bilion berbanding peruntukan belanjawan tahun ini sebanyak RM277.5 bilion.

Dr Mahathir berkata melalui pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan masih mampu meningkatkan prestasi ekonomi walaupun menghadapi kekangan membayar hutang negara.

"Seperti dilihat pertumbuhan ekonomi pada tahun ini ialah 4.7 peratus dan tahun 2020 ia dijangka meningkat kepada 4.8 peratus.

"Ini susulan pemerintahan PH masih berjalan dengan baik walaupun terpaksa ‘membersihkan’ kerajaan, ini tidak bermakna (pentadbiran) kerajaan tidak berjalan dengan baik," katanya.

Perdana Menteri juga yakin rakyat gembira dengan pembentangan belanjawan kali ini.

"Rakyat gembira, hampir setiap orang mendapat sesuatu,” katanya.

Menjawab mengenai penurunan nilai ambang hartanah bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing, yang akan menyebabkan pemaju mengambil kesempatan menaikkan harga rumah dan memberi kesan kepada pembeli tempatan, Dr Mahathir berkata ia terhad kepada pangsapuri dan kondominium sahaja dan tidak melibatkan rumah atas tanah.

Katanya, ia perlu memandangkan terdapat hartanah yang tidak terjual dan ia tidak akan memberi kesan kepada pembeli tempatan.

“Kita perlu menjual hartanah ini. Sudah tentu akan ada pembeli warga asing tetapi pembeli dalam kalangan rakyat tempatan tidak terpinggir,” katanya.

-- BERNAMA

Kongsikan: