SEMASA

Bukan Mudah Untuk Muktamadkan RCEP- PM

BANGKOK, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan mudah untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kerana ia memerlukan satu kesepakatan oleh 16 negara RCEP.

Dr Mahathir, yang mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan ASEAN ke-35 itu di sini berkata, rundingan perdagangan pelbagai hala bukanlah mudah untuk mencapai kesepakatan kerana ia melibatkan penyertaan 16 negara.

“Kita perlukan persetujuan dari semua 16 negara… jika sebuah negara meminta sesuatu, kita tidak boleh terima, maka ia tidak boleh menjadi.

“Pelbagai hala atau malahan dua hala bukanlah mudah. Ia bukan sekadar hanya bercakap manis antara satu sama lain atau menepuk bahu dan berkata saya setuju dengan apa yang awak kata dan awak setuju dengan apa saya kata, katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

RCEP adalah perjanjian perdagangan pelbagai hala antara 10 negara anggota ASEAN  -- Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam -- dan enam sekutu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

RCEP, yang dimulakan pada 2012, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah US$49.5 trilion iaitu 39 peratus daripada jumlah KDNK global, bakal menjadi perjanjian perdagangan terbesar di dunia, apabila berjaya membentuk keputusan muktamad.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Darell Leiking berkata, perkara berhubung RCEP pada umumnya dibawa semasa Persidangan ASEAN-China dan ASEAN-India di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya satu negara ‘tidak jelas’ berikutan beberapa isu belum selesai di negara itu sendiri.

“Kebanyakan terma RCEP telah dimuktamadkan dan selesai. Namun, hanya satu negara mengambil keputusan tidak jelas…. Tunggu saja kenyataan pemimpin berkenaan esok,” katanya.

Adalah dipercayai bahawa rundingan masih belum dicapai dan sekurang-kurangnya empat daripada 20 bab masih tertangguh iaitu e-pelaburan, e-perdagangan, peraturan asal dan imbalan perdagangan.

Media melaporkan harapan bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan itu susulan permintaan baru oleh India.

Semasa Persidangan ASEAN-India, Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak menyentuh mengenai perjanjian RCEP tetapi hanya mengulas perjanjian perdagangan sedia ada antara ASEAN dan India.

-- BERNAMA

Kongsikan: