SEMASA

Cyberjaya, Tuan Rumah Sidang Kemuncak APEC Malaysia Dahulu dan Sekarang

CYBERJAYA, 4 Dis (Bernama) — Lebih dua dekad yang lalu pada 1998, Cyberjaya yang pada masa itu dikenali sebagai Koridor Raya Multimedia (MSC) negara telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 1998.

Cyberjaya ketika itu hanya baru berada di peringkat awal fasa pembangunannya dan masih baharu kepada pelabur asing.

Sebagai menandakan Cyberjaya sebagai lokasi bagi Sidang Kemuncak APEC pertama Malaysia, satu daripada jalan utama di situ dinamakan Persiaran APEC.

Hari ini, Cyberjaya yang telah berusia 22 tahun itu sekali lagi menjadi tumpuan kerana menjadi tuan rumah bagi pelancaran rasmi APEC 2020 Malaysia.

Persamaan antara kedua-dua acara itu sudah pastinya jelas kerana ia berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri keempat dan sekarang merupakan Perdana Menteri ketujuh negara.

Bercakap pada pelancaran APEC 2020 hari ini, Dr Mahathir mengimbas kenangan Cyberjaya sebagai tuan rumah bagi sidang kemuncak APEC di Malaysia.

“Pada 1998, apabila Malaysia menganjurkan APEC buat kali pertama dan saya adalah Perdana Menteri keempat, kami memilih Cyberjaya sebagai lokasi untuk Mesyuarat Pemimpin kerana kami ingin menunjukkan MSC Malaysia, hab kita sendiri bagi pembangunan masa depan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), produk dan perkhidmatan multimedia,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran rasmi APEC 2020 Malaysia hari ini.

Perdana Menteri berkata Cyberjaya kini telah melengkapi status yang diberikan kepadanya dan menjadi lokasi bagi pelbagai syarikat berkaitan teknologi serta agensi kerajaan.

“Kita (Malaysia) percaya ia sesuai bagi Malaysia memulakan peluang kedua kita menganjurkan APEC di tempat yang sama seperti yang kita lakukan lebih dua dekad lalu,” katanya.

Malaysia berbangga menjadi tuan rumah APEC sekali lagi selepas 22 tahun, kata Dr Mahathir.

Menurutnya, 2020 merupakan tahun yang penting bagi APEC kerana ia menandakan berakhirnya Matlamat Bogor yang dicetuskan pada 1994 dan telah direalisasikan oleh negara anggota secara berterusan sejak pelaksanaannya.

Matlamat Bogor yang diguna pakai pada mesyuarat pemimpin APEC di Indonesia mengesa ekonomi maju merealisasi pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka pada 2010, manakala ekonomi membangun pada 2020.

Beliau juga melihat senario ekonomi semasa Malaysia menganjurkan APEC kali pertama pada 1998 dan kali kedua pada tahun depan mempunyai persamaan.

“Pada 1998, ketika kita (Malaysia) menganjurkan APEC buat kali pertama, banyak negara di rantau ini telah mengambil langkah untuk mengurangkan kesan buruk akibat krisis kewangan Asia 1997 dan usaha ditumpukan untuk memulihkan kestabilan kewangan dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi,” kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata, komuniti ekonomi global ketika itu bersatu dan meletakkan kepercayaan mereka terhadap globalisasi kerana ia akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada banyak negara.

“Hari ini, Malaysia akan melancarkan APEC 2020 dalam keadaan yang hampir sama apabila risiko pertumbuhan perlahan terus meningkat dan ketegangan dasar perdagangan masih lagi wujud,” katanya.

Kesemua trend ini akan terus melemahkan keyakinan para pelabur yang akan menyebabkan kehilangan kepercayaan terhadap manfaat perdagangan global dan pelaburan kepada rakyat biasa, katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia menerima semua cabaran ini dengan visi untuk memastikan kejayaan APEC 2020 di mana faedah daripada perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi dirasai dan dinikmati oleh rakyat.

APEC yang ditubuhkan pada 1989, berperanan sebagai forum perdagangan pelbagai hala dan kerjasama ekonomi untuk 21 negara anggota yang bertujuan untuk meningkatkan kemakmuran dengan menggalakkan pertumbuhan seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan pertumbuhan terjamin dengan mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.

Negara anggota APEC adalah Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, China, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA

Kongsikan: