SEMASA

Dana Terikat Untuk Pengurusan Bencana Angkara Manusia Diteliti

CYBERJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata kerajaan sedang meneliti pelaksanaan dana terikat untuk pengurusan bencana angkara perbuatan manusia.

Beliau berkata penelitian itu sedang dijalankan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

"Pelaksanaan ini akan mempertingkatkan kebertanggungjawaban pihak industri bagi mengelakkan tindakan yang menyebabkan berlakunya sesuatu bencana seperti kebakaran, jerebu dan pencemaran bahan kimia.

"Ia juga akan menyebabkan pemilik industri bertanggungjawab membiayai kos operasi menguruskan dan memulihkan bencana yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Ditanya sama ada pelaksanaan itu membabitkan peruntukan undang-undang, Dr Wan Azizah berkata MESTECC akan melihat perkara tersebut selain meneliti cara pihak industri boleh menyumbang serta bersama-sama menolong membersihkan keadaan jika berlaku bencana.

Mengenai peningkatan kes sumbang mahram, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata peningkatan iman dan akhlak penting supaya tidak berlaku perkara itu.

Beliau berkata usaha kementeriannya dalam menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah dengan melancarkan video pendidikan seks ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan jahat).

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan turut melaksanakan Modul Pendidikan Kesihatan Sosial bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual, katanya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen seperti dilaporkan semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas. Sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.

-- BERNAMA

Kongsikan: