SEMASA

Dokumentasi Kejadian Pasir Gudang Dalam Aspek Perancangan Bandar – Pakar

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kes pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, pada Mac lepas dan insiden pencemaran gas udara berlaku tiga bulan selepas itu sehingga menjejaskan kesihatan lebih 4,000 penduduk termasuk kanak-kanak, menimbulkan kegusaran pelbagai pihak terutama penduduk di kawasan perindustrian itu.

Pelbagai gesaan dilontarkan pihak kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan kepada kerajaan Johor untuk mencari penyelesaian agar perkara sebegitu tidak berulang, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mengeluarkan kenyataan agar tindakan tegas dikenakan terhadap 'dalang' di sebalik setiap kejadian pencemaran alam yang melanda kawasan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan wartawan dan jurukamera Bernama di Pasir Gudang beberapa hari lalu, antara faktor mengakibatkan kesihatan penduduk terjejas kerana tiada zon penampan atau kawasan lapang yang efektif disediakan untuk memisahkan antara kawasan perindustrian dan penempatan.

Tinjauan Bernama mendapati wujud sebuah taman perumahan sangat berdekatan dengan kawasan perindustrian berat memproses bahan kimia. Lokasi penempatan dan perkilangan itu hanya 'dipisahkan' oleh jalan raya dua hala agak sibuk yang digunakan pelbagai jenis kenderaan, termasuk lori muatan berat.

Tidak mustahil penduduk di situ akan terdedah dan berhadapan risiko kesihatan sekiranya berlaku 'serangan' pencemaran sekali lagi pada masa akan datang yang sukar diramal.

Mengulas hal itu, pensyarah dan pakar perancangan bandar serta pengangkutan, Prof Madya Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata kejadian malang menimpa penduduk di Pasir Gudang perlu didokumentasikan sebagai garis panduan kepada kerajaan serta agensi terlibat dalam perancangan bandar untuk mengelak perkara sama berulang sama ada di daerah itu mahupun di tempat lain.

“Sekiranya hasil forensik mendapati terdapat unsur kelemahan dari segi penguatkuasaan, maka, prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan lebih ketat serta efektif perlu dihasilkan dengan menambah baik SOP sedia ada. Malah, akta berkaitan juga perlu ditambah baik supaya benar-benar berkesan menghalang salah laku industri.

“Secara dasar, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memerlukan sebarang perancangan mestilah mengambil langkah sepatutnya untuk memperelok persekitaran hidup dan alam sekitar. Sebarang proses, langkah atau kaedah membawa kepada pemajuan mapan perlu dilaksanakan.

"Walaupun penyediaan zon penampan tidak disebutkan secara khusus, ia sudah termasuk dalam peruntukan langkah-langkah memperelok persekitaran dan kesejahteraan hidup," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Pengarah Pusat Inovasi Perancangan dan Pembangunan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia itu, berpendapat minimum jarak zon penampan adalah 500 meter antara kawasan penempatan dan perkilangan.

"Tetapi jarak atau kelebaran itu perlu lebih besar bergantung kepada kategori industri sama ada ringan, sederhana atau berat, dan sekiranya terdapat banyak perkilangan kategori berat, maka kawasan penempatan perlu lebih luas dan jauh daripada orang ramai," jelasnya.

Zon penampan adalah kawasan lapang, bertujuan untuk mengasingkan kawasan industri berisiko tinggi yang boleh mengganggu dan memberi kesan buruk kepada orang ramai dan alam sekitar daripada pelbagai bentuk pencemaran seperti udara, air dan bunyi, katanya.

“Selalunya zon penampan di tanam dengan pokok-pokok bagi memberi kesan hijau dan tanaman pokok itu juga bertujuan untuk menapis pencemaran, sekali gus mengurangkan risiko bahaya atau menjejaskan kesejahteraan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan perindustrian,” tambahnya.

Namun, beliau berkata dalam konteks perbandaran di Pasir Gudang amat sukar dan mustahil untuk menyediakan atau mencari tapak sesuai dijadikan zon penampan berikutan perbandaran tersebut telah tepu bina dengan taman perumahan, pusat komersial, pusat bandar dan pelbagai kategori industri perkilangan.

"Maka, untuk mencari dan menyediakan zon penampan adalah satu perkara agak sukar kerana mungkin melibatkan kos tinggi seperti terpaksa melibatkan pengambil alihan tanah.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi terlibat perlu mencari jalan penyelesaian dan kaedah paling sesuai untuk mengatasi isu sebegini pada masa hadapan seperti bagaimana semua pihak berkuasa seperti polis, bomba, dan Jabatan Alam Sekitar bersatu padu menghadapi situasi ini bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta alam sekitar,” jelasnya.

Muhammad Zaly Shah berkata pihak terlibat juga perlu membuat perancangan untuk mencari solusi paling efektif daripada semua aspek, sekali gus mengelak keadaan menjadi panik dan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Apa pihak berkuasa perlu lakukan adalah mengenal pasti kaedah untuk jangka pendek, sederhana dan panjang. Bagi jangka pendek, kerajaan, pihak berkuasa dan agensi terlibat perlu mengurangkan kegusaran penduduk dengan sentiasa memberi maklum balas dan berkongsi maklumat terkini kepada penduduk.

"Jangka sederhana pula, agensi penguatkuasaan perlu mengenal pasti punca sebenar berlakunya kejadian pencemaran serta aktiviti forensik perlu dilaksanakan secepat mungkin, seterusnya mengambil tindakan tegas kepada mereka terlibat kerana ia menjejaskan kehidupan penduduk dan alam sekitar.

"Ia perlu didokumentasikan sebagai satu piawaian atau SOP, dan boleh diguna pakai oleh semua agensi pada masa hadapan dalam menguruskan bencana sebegini, termasuk agensi perancangan bandar," katanya.

-- BERNAMA

Kongsikan: