SEMASA

Dr Wan Azizah Tinjau Mangsa Banjir Di Rantau Panjang

PASIR MAS, 3 Dis (Bernama) -- Soal kebajikan rakyat tetap berada di hati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turun padang untuk melihat sendiri keadaan mangsa banjir di Kelantan, walaupun hari ini adalah ulang tahun kelahirannya ke-67.

Ketika mengagihkan kit makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang, kedengaran beberapa orang mengucapkan selamat hari lahir kepada Dr Wan Azizah sambil disambut senyuman oleh beliau.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang tiba pada 10 pagi di PPS berkenaan disambut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Senator Datuk Husam Musa.

Dr Wan Azizah kemudiannya mendengar taklimat berkaitan banjir yang melanda Pasir Mas selama kira-kira 30 minit daripada Ketua Jajahan Pasir Mas Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Dr Wan Azizah berkata keadaan banjir yang berlaku di Kelantan ketika ini tidaklah seteruk yang berlaku pada 2014.

"Banjir kali ini berkemungkinan bersamaan dengan banjir 2016. Tidaklah seteruk banjir 2014 yang kita panggil banjir kuning tetapi (banjir) 2016 pun ramai juga mangsa, dan kita belum lagi habis Monsun Timur Laut yang akan berakhir Februari ini.

"Kalau kita lihat trend itu kita harap tahap kesiapsiagaannya dipertingkatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan melihat langkah penyelesaian lebih holistik bagi mengatasi bencana banjir yang berlaku secara tahunan di beberapa tempat di seluruh negara.

"Bagaimana kita melihat (masalah banjir) sebab ini mungkin menjadi masalah tahunan. Kita kena fikirkan bagaimana (untuk membina) tebatan banjir, lepas itu tindakan yang holistik dan dapat kita tangani bukan sahaja di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat tetapi lain-lain (kawasan juga)," katanya.

Ditanya mengenai kelengkapan di pusat pemindahan sementara ketika ini, beliau berkata ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki dengan mengambil kira sensitiviti penghuni yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Ada juga tempat-tempat (pusat pemindahan sementara) kemungkinan boleh diperbaiki di kalangan ibu yang ada anak kecil (seperti kelengkapan) toto (tilam) untuk bayi," katanya.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan memberi bantuan tunai kepada mangsa banjir, beliau berkata: "Kita akan timbang berapa banyak kerugian dan kita melihat bagaimana kita mampu ataupun tidak.”

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 10,078 mangsa (3,437 keluarga) malam tadi.

-- BERNAMA

Kongsikan: