SEMASA

Empat Kanak-Kanak Dijangkiti HFMD Terima Rawatan Di Hospital

GEORGE TOWN, 9 Julai (Bernama) — Empat kanak-kanak yang dijangkiti penyakit  kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang kini dirawat di hospital, kata Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata tiga daripada  kanak-kanak itu di rawat di Hospital Pulau Pinang manakala seorang lagi di Hospital Seberang Jaya. Mereka berusia antara dua dan 10 tahun.

“Keadaan kesihatan mereka stabil dan kami di Jabatan Kesihatan Negeri telah mengambil beberapa langkah segera bagi membendung penyakit itu termasuk mengadakan pemeriksaan di taska dan tadika.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana situasi penyakit HFMD di Pulau Pinang masih terkawal, cuma saya minta ibu bapa mendapatkan rawatan segera jika anak mereka mempunyai simptom  penyakit itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau  berkata ketika ini sebanyak 15 fasiliti, terdiri daripada 10 taska, dua tadika, sebuah pusat jagaan, dan 2 buah kelas yang masing-masing sebuah kelas di sekolah kebangsaan dan sebuah kelas di sekolah antarabangsa ditutup 10 hari bagi proses pembersihan berikutan terdapat jangkitan HFMD di premis berkenaan.

Dr Wan Mansor berkata sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 1,675 kes HFMD dilapor iaitu peningkatan 56.7 peratus berbanding 1,069 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Selepas laporan media berhubung peningkatan kes HFMD meningkat Jumaat lepas, kami menerima 120 kes baharu dalam tempoh tiga hari kerana ibu bapa mengambil langkah segera membawa anak mereka mendapatkan rawatan selepas mendapati terdapat tanda jangkitan (HFMD),” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di sebuah tadika yang diarah tutup di Butterworth kerana terdapat murid di situ dijangkiti HFMD, mendapati pekerja tadika itu sedang membersihkan premis berkenaan.

Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Liew, 40-an, berkata tadika itu ditutup sejak dua hari lepas apabila tiga muridnya dijangkiti HFMD.

“Kami mop lantai, cuci semua peralatan dan mainan dengan pencuci khas bagi memastikan ia bersih daripada sebarang virus,” katanya.

HFMD ialah satu penyakit yang disebabkan oleh virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).         HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

— BERNAMA

Kongsikan: