SEMASA

Had Pelabuhan: Malaysia, Singapura Akan Laksana Lima Cadangan Selesai Isu Maritim

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Singapura akan melaksanakan lima cadangan berkuat kuasa hari ini (14 Mac) untuk menyelesaikan isu-isu maritim berhubung had pelabuhan kedua-dua negara.

Cadangan-cadangan itu digariskan dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, yang dikeluarkan selepas mengadakan pertemuan mengenai isu-isu dua hala di Wisma Putra di sini hari ini.

"Langkah-langkah yang diambil kedua-dua negara ini adalah tanpa prejudis kepada tuntutan sempadan maritim oleh Malaysia dan Singapura di kawasan itu masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Cadangan-cadangan itu termasuk Malaysia dan Singapura saling bersetuju untuk menggantung pelaksanaan had sempadan yang bertindih dan menggunakan had sempadan yang berkuat kuasa sebelum 25 Okt 2018 dan 6 Dis 2018 masing-masing.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia dan Singapura tidak boleh membenarkan dan hendaklah menggantung semua kegiatan komersial di kawasan itu.

Kedua-kedua menteri luar juga, menurut kenyataan itu, bersetuju agar kedua-dua Malaysia dan Singapura tidak melabuhkan kapal-kapal kerajaan di kawasan itu.

Menurut kenyataan bersama itu, kapal-kapal Malaysia dan Singapura yang beroperasi dalam kawasan itu hendaklah mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS).

“Agensi-agensi berkaitan dari kedua-dua pihak akan mengusahakan modaliti yang praktikal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini di kawasan itu," katanya.

Ia berkata Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk persempadanan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura Chee Wee Kiong.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa itu akan memastikan pelaksanaan empat cadangan yang pertama dalam tempoh satu bulan, dan perundingan mengenai persempadanan maritim di kawasan itu bermula dalam tempoh satu bulan selepas pelaksanaannya itu.

Menurut kenyataan bersama itu, sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai satu persetujuan secara baik mengenai persempadanan itu, Malaysia dan Singapura mungkin secara bersama akan bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian itu mengikut prosedur penyelesaian pihak ketiga yang wajar, yang terma-termanya akan dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

Kedua-dua menteri luar, menurut kenyataan itu, bersetuju bahawa langkah-langkah itu penting untuk mengendurkan situasi di lapangan dan membuka jalan untuk persempadanan maritim di kawasan berkenaan.

"Langkah-langkah ini juga menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk bekerja bersama-sama untuk memelihara hubungan dua hala yang kuat dan positif berasaskan kesaksamaan dan saling menghormati dan untuk menyelesaikan isu-isu dua hala secara baik mengikut undang-undang antarabangsa," katanya.

Dalam mesyuarat mereka hari ini, Saifuddin dan Balakrishnan membincangkan laporan kumpulan kerja mengenai isu-isu maritim berkaitan pertindihan had Pelabuhan Johor Bahru di perairan Tanjung Piai dan had Pelabuhan Singapura di perairan Tuas.

Laporan telah dikemukakan oleh kumpulan kerja tersebut, yang dipengerusikan oleh Muhammad Shahrul Ikram dan Chee.

Kedua-dua menteri luar memuji hasil kerja kumpulan kerja itu dan sukacita memaklumkan bahawa mereka telah mencapai kemajuan positif.

"Kedua-dua menteri amat mengharapkan kejayaan pelaksanaan cadangan-cadangan kumpulan kerja tersebut," menurut kenyataan itu.

Pertikaian mengenai persempadanan maritim antara Singapura dan Malaysia yang terkait dengan had Pelabuhan Johor Bahru muncul semula pada 4 Dis apabila republik itu mendakwa perluasan terbaru had pelabuhan itu memasuki perairan Singapura di perairan Tuas.

-- BERNAMA

Kongsikan: