SEMASA

Infrastruktur Cegah Banjir Tiada Makna Tanpa Penyelenggaraan, Sikap Bertanggungjawab

MELAKA, 3 Nov (Bernama) -- Saban tahun kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk pembinaan infrastruktur cegah banjir, terbaharu pada Julai lepas, Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM10 juta bagi menambah baik pintu kawalan air Sungai Melaka.

Bagaimanapun, menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, segala infrastruktur mencegah banjir dibangunkan perlu diselenggara  sempurna dan masyarakat perlu mengamalkan sikap tanggungjawab bagi mengelak banjir berlaku.

Beliau berkata tiada makna kerajaan membelanjakan jutaan ringgit membangunkan infrastruktur cegah banjir tetapi pihak terlibat tidak membuat penyelenggaraan sempurna dan masyarakat tidak ambil peduli, antaranya dengan membuang sampah sesuka hati sehingga infrastruktur itu gagal berfungsi.

"Kita selalu beli barang... beli kereta, mesin atau rumah tetapi kadang-kadang kedekut untuk melakukan penyelenggaraan dan jaga dengan baik, yang akhirnya barang kita rosak cepat. Ini sama dengan infrastruktur banjir kita, akhirnya longkang tersumbat menyebabkan banjir.

"Isu ini perlu kita tangani secara bersama, kita mesti jadikan ia suatu budaya masyarakat kita supaya semua infrastruktur (cegah banjir) sempurna, longkang tidak tersumbat sungai kita tidak penuh sampah dan rumput, infrastruktur kita dalam keadaan terbaik," katanya kepada Bernama.

Pada 7 Julai lepas Bernama melaporkan 1,149 penduduk daripada 260 keluarga dipindahkan akibat banjir kilat yang melanda Melaka.

Mohd Sofi berkata kerajaan negeri telah mengarahkan semua pihak terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Paya dan pejabat daerah menyelenggara semua  infrastruktur cegah banjir negeri ini terutama longkang serta sistem perparitan.

Bagaimanapun, beliau mendapati terdapat pembetung di beberapa kawasan negeri ini mempunyai  halangan untuk berfungsi dengan baik seperti di Melaka Pindah dekat sini terdapat saluran paip utiliti air dalam saluran pembetung tersebut.

"Pembetung kawasan berisiko tinggi banjir telah dikenal pasti dan pastikan berfungsi sempurna, tidak bertutup serta bersih, tetapi paip utiliti air air di dalam pembetung mengganggu aliran air sehingga memerangkap sampah sarap menyebabkan pembetung tersumbat. Ini kita akan ambil langkah selesaikan segera," katanya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata masyarakat  negeri ini diminta mengambil langkah proaktif dengan memeriksa saluran air atau parit di kawasan mereka agar tidak tersumbat atau tersekat bagi mengelak bencana banjir.

Effendy berkata selain itu masyarakat perlu mendapatkan maklumat sejarah banjir di kawasan masing-masing selain sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling terutama pada musim tengkujuh  dan Monsun Timur Laut pada masa ini.

“Dapatkan maklumat pusat pemindahan bencana dan letakkan dokumen penting atau keperluan asas termasuk ubat-ubatan ke dalam beg yang sedia untuk dibawa pada bila-bila masa selain turut bersedia dalam tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana itu berlaku," katanya.

Ditanya tentang persediaan APM bagi menghadapi banjir, katanya 150 anggota bersedia digerakkan untuk menjalankan operasi pada 24 jam pertama bencana dan hampir 200 lagi anggota pasukan sokongan digerakkan bagi tugas bantuan di Pusat Pemindahan Bencana serta semasa pasca bencana.

“Aset seperti trak, ambulans dan kenderaan penyelamat ringan juga dalam keadaan bersedia untuk digunakan. Selain itu, bot ringan daripada jenis aluminium dan 'inflatable boat' juga telah dipastikan dalam keadaan boleh digunakan bagi menghadapi situasi bencana,” katanya.

Pesara kerajaan Muhammad Jauhari Ruslan, 66, berkata masyarakat sepatutnya tidak meletak tanggungjawab kepada kerajaan semata-mata dalam memastikan infrastruktur cegah banjir berfungsi sempurna dan mengambil tanggungjawab memastikan semua sistem perparitan bebas daripada sampah.

“Setiap kali banjir tengok kawasan longkang, parit atau sungai mesti penuh sampah. Ini bukan masalah kerajaan tak selenggara tetapi sikap penduduk buang sampah merata. Walaupun tidak buang dalam sungai tetapi bila hujan sampah ini masuk dalam sungai,” katanya yang tinggal di Bukit Katil di sini.

Abd Rahim Awang, 52, seorang juruteknik kilang elektronik dari Batu Berendam di sini meminta pihak berwajib membuat pemantauan kerap bagi memastikan infrastruktur cegah banjir berfungsi dan mengambil tindakan tegas seperti denda kepada mereka membuang sampah serta menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi.

-- BERNAMA

Kongsikan: