SEMASA

Jaga Akhlak, Jauhi Anasir Tidak Sihat Ketika Berada Di Tanah Suci – Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menasihati bakal jemaah haji dari Terengganu supaya menjaga akhlak sepanjang berada di Tanah Suci.

Baginda juga berharap bakal jemaah haji menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Patuhi dan hormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di sana nanti agar tidak timbul sebarang masalah,” titah baginda pada Majlis Penyempurnaan Pelepasan Jemaah Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M, di sini malam tadi.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat pada majlis tersebut dan pasangan diraja itu diiringi Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta isteri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Sultan Mizan juga mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri, serta mengikuti segala nasihat, panduan kesihatan dan amalan pemakanan yang disarankan Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan supaya kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik.

Baginda juga menasihati jemaah haji untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya dan mengelak membazir masa dengan perkara tidak berfaedah.

Selain itu, baginda juga berharap jemaah haji dapat melaksanakan semua rukun haji dengan sempurna seperti yang telah dipelajari semasa kursus-kursus haji yang dianjurkan TH sebelum ini.

“Ini kerana, hanya dengan pelaksanaan ibadat haji yang sempurna di samping akhlak yang baik, tuan-tuan dan puan-puan akan memperoleh haji yang mabrur, InsyaAllah,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut mengucapkan syabas kepada TH atas komitmen dan usaha menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji setiap tahun.

Baginda berharap usaha-usaha memantapkan sistem pengurusan haji akan diteruskan agar pengurusan haji negara sentiasa pada tahap cemerlang dan dicontohi negara-negara Islam seluruh dunia.

Pada majlis tersebut, Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah berkenan bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada 150 orang bakal jemaah haji Terengganu yang berlepas dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 1 pagi tadi.

Mereka kemudiannya meneruskan penerbangan dari KLIA pada pukul 5.10 pagi tadi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 8.40 pagi (waktu tempatan).

Seramai 1,350 orang dari Terengganu mendapat tempat untuk mengerjakan haji tahun ini.

-- BERNAMA

Kongsikan: