SEMASA

Jemaah Haji Malaysia Nikmati Kemudahan ‘Fast Track’ Di Arab Saudi Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) – Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan menikmati kemudahan ‘fast track’ di terminal ketibaan Imigresen Arab Saudi menerusi Program Prapelepasan jemaah  haji yang dilaksanakan sepenuhnya, bermula tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kemudahan yang diperkenalkan buat pertama kali itu akan mempercepatkan pengurusan para jemaah dari segi dokumentasi diri, pemeriksaan imigresen, tuntutan bagasi serta pergerakan ke tempat penginapan terutama bagi jemaah kali pertama.

“Sebelum melalui ‘fast track’ di terminal ketibaan haji di sana (Jeddah dan Madinah) proses pelepasan jemaah haji secara sistematik terlebih dahulu dibuat di semua lapan stesen berlepas tanah air, di mana kebiasannya proses ini dilakukan semasa para jemaah tiba  di Arab Saudi.

“Para jemaah akan menjalani imbasan 10 jari dan pengcaman gambar muka semasa melapor diri di stesen berlepas (dalam negara) yang dikendalikan sendiri oleh wakil Kementerian Luar Arab Saudi untuk mempercepatkan proses imigresen di negara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Prapelepasan Haji di Menara TH di sini, hari ini.

Syed Saleh yang juga ketua rombongan haji Malaysia berkata seterusnya sebaik jemaah haji tiba di Terminal Haji di Arab Saudi, para jemaah tidak perlu menunggu lama dan boleh terus keluar menerusi ‘fast track’ itu untuk menaiki bas ke bangunan penginapan masing-masing tanpa perlu mengambil bagasi.

Beliau berkata semua bagasi  jemaah diuruskan oleh pihak Wakil Bersatu (wakil Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi), termasuk proses imbasan oleh Kastam Arab Saudi sebelum dibawa untuk diserahkan ke bilik-bilik penginapan jemaah haji.

“Semua proses itu juga di bawah pengawasan petugas TH dan Muassasah Asia Tenggara. Pengurusan sebegini yang lebih sistematik juga dijangka jimatkan masa menunggu jemaah haji yang tiba di terminal Imigresen Arab Saudi kepada maksimum tiga jam berbanding lapan jam sebelum ini,” katanya.

Malaysia merupakan negara perintis yang diberi kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan proses prapelepasan ini, kata Syed Saleh

Kumpulan jemaah pertama akan melalui prapelepasan ini pada Sabtu (14 Julai) melibatkan 483 orang bakal jemaah haji dengan menaiki dua penerbangan pada 5.50 pagi dan 9.45 malam.

— BERNAMA

Kongsikan: