SEMASA

Kerajaan Cari Penyelesaian Terbaik Selesai Masalah Hutang PLUS – Dr Mahathir

Daripada Voon Miaw Ping
BANGKOK, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS Malaysia Berhad (PLUS), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pilihan terbaik buat masa ini adalah untuk syarikat dana pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), yang merupakan pemegang saham utama dalam PLUS, supaya dapat mengurus untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut.

“Kita nak tengok mana yang terbaik mungkin. Kalau Khazaah urus, boleh selesai hutang, Ok la,” katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Khazanah yang merupakan syarikat dana pelaburan negara tidak berminat untuk menjual PLUS yang merupakan syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala 49 peratus lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata kerajaan juga bersedia melepaskan PLUS jika ada pihak yang sanggup membayar harga tinggi untuk mengambil alih dan menanggung hutang yang dialaminya.

“Kalau ada orang lain menawar untuk mengambil alih hutang sampai RM30 bilion, itu sesuatu yang baik. Bagi kerajaan, kita (akan) cakap dengan Khazanah,” kata Dr Mahathir.

Minggu lepas, konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawaran bagi PLUS dengan tawaran baharu untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu kepada RM5.3 bilion daripada RM3 bilion sebelum ini.

Tawaran itu termasuk pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu adalah sebanyak RM38.34 bilion.

Ini dilaporkan merupakan bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

-- BERNAMA

Kongsikan: