SEMASA

Kerajaan Setuju Naikkan Kadar Elaun Pelatih Kerajaan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menaikkan elaun pelatih yang sedang menjalani latihan amali di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan daripada RM1.60 sejam ke RM5 sejam berkuatkuasa 1 Sept.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan berita baik itu di laman Twitternya menjelaskan kenaikan lebih tiga kali ganda itu dipersetujukan pada mesyuarat khas kabinet hari ini.

"Sebentar tadi kita baru tamat Mesyuarat Khas Kabinet yang membincangkan isu-isu anak muda dan alhamdulillah kerajaan telah setuju menaikkan kadar elaun bagi intern (pelatih) dari RM1.60 ke RM5...peningkatan lebih tiga kali ganda, sebelum ini dari RM300 ke RM900 sebulan.

"Ini penambahan yang sangat baik...dari tak ada bayaran langsung kepada RM15 sehari dan sekarang ke anggaran RM45 sehari,” katanya dalam video ucapan berdurasi lebih seminit itu.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan langkah berkenaan merupakan penambahbaikan oleh kerajaan dan beliau seterusnya berikrar akan terus bekerja keras untuk golongan belia di Malaysia.

Sehingga kini, ciapan terbaharu beliau itu telah meraih lebih 7,500 ’retweet’ dan 7,100 ‘likes’.

Pada 24 Julai lepas Syed Saddiq mengumumkan Kabinet bersetuju memperkenalkan semula pembayaran elaun kepada pelatih yang berkhidmat di bawah kerajaan.

-- BERNAMA

Kongsikan: