SEMASA

Keterangan Baharu Dikemukakan Untuk Gugurkan Sri Ram Sebagai DPP

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan mereka untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes mereka.

Muhammad Shafee memberitahu tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa mereka telah memfailkan notis usul semalam untuk memohon kebenaran untuk memasukkan surat pelantikan Sri Ram sebagai keterangan baharu dalam rayuan mereka.

Beliau berkata beliau diberi surat pelantikan Sri Ram pada 9 Ogos tahun ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Ogos yang membenarkan rayuan Najib supaya pihak pendakwaan mengemukakan surat pelantikan Sri Ram kepada pihak pembelaan.

Pada 7 Ogos lepas, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan  Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah hari ini Sri Ram tidak sepatutnya dilantik mengikut Seksyen  376 (3) Kanun Tatacara Jenayah kerana seksyen itu hanya terpakai kepada timbalan pendakwa raya, sebaliknya beliau (Sri Ram) sepatutnya dilantik atas dasar ad hoc.

Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim yang mempengerusikan panel hakim itu kemudian menjadualkan semula pendengaran permohonan dan rayuan kepada 26 Ogos selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan.

"Terdapat sijil perakuan segera yang difailkan, bermakna kes ini mesti dengar awal," kata Hakim Hasnah, yang bersidang bersama-sama Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat.

Shamsul yang hadir bagi pihak Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan dan Sri Ram memberitahu mahkamah beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan sama ada satu afidavit jawapan perlu difailkan kepada notis usul itu.

Katanya beliau akan memaklumkan mahkamah dan Muhammad Shafee sebelum Rabu (21 Ogos) sekiranya tiada keperluan untuk memfailkan afidavit itu.

Hakim Hasnah turut mengingatkan Muhammad Shafee untuk memfailkan hujahan bertulis beliau sebelum 20 Ogos.

Najib dan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Feb tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Muhammad Shafee mewakili Najib selain mewakili dirinya sendiri dalam prosiding kes itu hari ini.

Najib dan Muhammad Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram selaku responden.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan mengatakan surat pelantikannya tidak sah.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan  Sri Ram dan memohon suatu perintah untuk melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka, termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

-- BERNAMA

Kongsikan: