SEMASA

Laporan Akhbar Mengenai Jentera FRT Tersadai Tidak Tepat

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Laporan sebuah akhbar yang mendakwa jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu melibatkan 97 unit Fire Rescue Tender (FRT) tersadai akibat kerosakan Power Take Off (PTO) adalah tidak tepat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata Jawatankuasa Siasatan (JKS) mendapati kerosakan jentera itu bukan semata-mata melibatkan kerosakan PTO itu sahaja.

Ia sebaliknya turut melibatkan sebab lain iaitu kekerapan penggunaan bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan serta tugas-tugas khas oleh Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara.

“Sebagai contoh, bagi negeri Selangor purata panggilan operasi adalah sebanyak 17,161 setahun atau 536 operasi bagi setiap jentera FRT setahun atau 44 panggilan operasi sebulan,” katanya bagi mengulas laporan Harian Metro pada 15 April lepas bertajuk 'Jentera RM165 Juta Tersadai’.

Laporan akhbar tempatan itu mendakwa 97 unit jentera bomba yang masing-masing dibeli pada tahun 2007, 2010 dan 2014 mengalami kerosakan besar dalam jangka waktu singkat.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata hasil siasatan JKS mendapati JBPM membuat perolehan FRT tersebut pada tahun 2007 iaitu sebanyak 42 unit, 2011 (100 unit) dan 2012 (100 unit).

“Dengan usia jentera FRT yang telah mencapai antara 7 hingga 12 tahun, purata kerosakan sebanyak 10 kali bagi setiap jentera adalah sesuatu yang normal. Berikutan penggunaan yang tinggi maka ia wajar ditukar kepada jentera baharu bagi melancarkan operasi pihak JBPM,” katanya.

Daripada 97 unit jentera FRT itu, 60 unit adalah dalam status baik, pembaikan (13), sebut harga (10), penyaluran peruntukan (8), siasatan kemalangan (1), pemeriksaan (3) dan pelupusan (2).

Dalam pada itu Zuraida turut menafikan dakwaan pembekal gagal menyediakan reka bentuk, peralatan dan pemasangan yang betul hingga menyebabkan jentera itu tersadai kerana pihak JBPM telah memastikan semua proses penyediaan reka bentuk dan spesifikasi jentera dipatuhi.

"Kementerian sentiasa memastikan cadangan peruntukan penyenggaraan jentera bomba disediakan dan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan melalui Perbelanjaan Mengurus setiap tahun.

"Sekiranya peruntukan penyenggaraan tidak mencukupi, permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan," katanya yang menolak isu potongan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan oleh KPKT seperti yang dilapor akhbar itu.

Zuraida berkata, kementerian mengambil serius terhadap laporan yang dikeluarkan oleh akhbar itu kerana ia telah menjejaskan nama baik kementerian dan JBPM secara khususnya sebagai sebuah jabatan yang penting dalam pencegahan, pemadaman kebakaran dan khidmat kemanusiaan.

-- BERNAMA

Kongsikan: