SEMASA

LTTE : Polis Tidak Tolak Kemungkinan Ada Lagi Yang Akan Ditahan

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis mempunyai 28 hari untuk menjalankan siasatan terhadap tujuh individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan semalam.

“Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan ditahan bagi membantu proses siasatan jika ada bukti yang mencukupi,” katanya pada sidang akhbar Perhimpunan Bulanan peringkat Bukit Aman, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak berhenti membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan persepsi masyarakat.

Beliau berkata bagaimanapun mana-mana individu atau pihak tiada halangan untuk memberi pandangan peribadi, tetapi adalah menjadi kesalahan jika memberi sokongan, mempromosi atau mengumpul dana berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

“...tindakan sedemikian boleh diambil tindakan jika dikesan di media sosial atau mana-mana platform,” katanya.

Mengulas mengenai tujuan mengaktifkan LTTE di negara ini, Ayob Khan berkata: “Daripada segi apa yang kami lihat, gambar-gambar yang dipamerkan itu adalah gambar LTTE, ini bukan isu perjuangan hak kaum Tamil di Sri Lanka dan sebagainya, ia adalah berjuang dan mempromosi kumpulan pengganas”.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa mengikut undang-undang negara ini, LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas sejak 2014. Selain Malaysia, LTTE turut disenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka.

Semalam, tujuh individu termasuk dua ADUN ditahan dalam operasi polis Bukit Aman disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Kongsikan: