SEMASA

LYNAS: Australia Mahu Syarat Ditarik Balik

BANGKOK, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Australia berharap Malaysia akan menarik balik syarat yang dikenakan terhadap syarikat nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam rundingan antara Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Australia Scott Morrison di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini hari ini.

"Mereka (kerajaan Australia) berharap kita akan menarik balik syarat yang dikenakan," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan perhimpunan serantau itu di sini hari ini.

Pada 15 Ogos, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (LPTA) mengumumkan lesen operasi Lynas telah diperbaharui selama enam bulan lagi.

Pembaharuan lesen berkenaan disertai dengan beberapa syarat utama termasuk memindahkan proses ‘Cracking and Leaching’ ke negara lain dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Lynas perlu meningkatkan kaedah perlombongan dan pemprosesan bahan mentahnya sebelum menghantarnya ke Malaysia.

"Kalau ada penambahan proses di Australia, bahan (yang dihantar) tidak seperti yang ketika ini. Bahan mentah akan menjadi lebih bersih, "katanya.

Dr Mahathir berkata bahan nadir bumi tidak berbahaya tetapi orang masih beringat tentang "pengalaman buruk" yang melibatkan syarikat pengekstrak logam nadir bumi di Perak pada 1980-an.

"Kita telah menghantar satu pasukan pakar untuk memeriksa operasi (Lynas). Mereka melaporkan bahawa ia tidak berbahaya. Sisa itu perlu diuruskan, tetapi kita tidak boleh menghantarnya keluar kerana tiada siapa pun yang mahu. Cadangan itu adalah untuk membuang sisa di tempat yang berlainan supaya intensiti radiasi tidak ada di sana," kata beliau.

Dr Mahathir berkata sebarang langkah untuk menutup Lynas akan melibatkan kos yang tinggi dan akan menjejaskan Pelaburan Langsung Asing kerana para pelabur akan berfikir bahawa kerajaan tidak memegang pada janjinya dalam meluluskan projek.

"Lynas adalah sebuah syarikat Australia yang mempunyai pelaburan besar dalam berbilion. Kita tidak boleh meminta mereka pergi," katanya.

-- BERNAMA

Kongsikan: