SEMASA

Malaysia Akan Tangani Cabaran Bagi Memastikan Kejayaan APEC 2020 – PM

CYBERJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia akan menangani semua cabaran, termasuk risiko pertumbuhan perlahan kesan daripada faktor-faktor luaran dan ketegangan dasar perdagangan yang masih berlarutan, bagi memastikan kejayaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di mana manfaat daripada kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi mampu dinikmati rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata APEC penting kepada Malaysia kerana rantau ini menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada jumlah perdagangan negara dan lebih daripada 70 peratus melalui pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan.

"Kira-kira 40 peratus daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah hasil daripada aktiviti berkaitan eksport.

"Jadi, juga menjadi harapan kita untuk memastikan rantau ini kekal mesra perniagaan dan dasar perdagangan serta pelaburan akan membawa kemakmuran kepada semua, sehingga kepada rakyat biasa," katanya ketika melancarkan APEC 2020, di sini, hari ini.

Acara itu dihadiri oleh wakil-wakil APEC, duta besar termasuk pesuruhjaya tinggi, ketua perniagaan serta para pegawai kerajaan.

Sebagai tuan rumah APEC 2020, Dr Mahathir berkata Malaysia akan terus memperkasakan wanita dalam ekonomi; keterangkuman kewangan; penglibatan belia; pembangunan mampan dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi usahawan, pemula niaga serta perusahaan sosial.

Beliau berkata, Malaysia telah memilih tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran' bagi APEC 2020, yang mencerminkan bahawa falsafah yang mendokong persidangan ini adalah 'Perkongsian Kemakmuran'.

"Sudah tiba masanya ekonomi anggota menimbang untuk menerima pakai falsafah tersebut dan menerapkannya ke dalam model ekonomi semasa.

"Menambah baik kesejahteraan seluruh rakyat kita serta membolehkan setiap mereka mempunyai standard hidup yang baik akan menjadikan APEC terus mampan dan relevan sebagai satu perkumpulan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Dr Mahathir turut menggesa anggota APEC untuk bersatu dan memanfaatkan kekuatan kolektifnya  untuk menangani masalah dan cabaran, meningkatkan semula keyakinannya serta maju ke hadapan.

Untuk memulihkan keyakinan, anggota APEC perlu memberi makna kepada usaha pembangunan ekonomi mereka serta harus bekerjasama ke arah perkongsian manfaat yang sama rata, daripada perusahaan besar sehingga kepada industri kecil dan sederhana termasuk rakyat biasa, katanya.

"APEC berkedudukan baik untuk memanfaatkan kekuatan membuat keputusannya yang konsensus, tidak terikat dan sukarela bagi memupuk serta menyokong hasil yang lebih bermakna dalam arena perdagangan dan pelaburan global.

"Hakikatnya, inisiatif APEC kini perlu bergerak melangkaui inisiatif liberalisasi untuk menjadi lebih inklusif dan melibatkan semua golongan rakyat," katanya.

Dr Mahathir mempelawa semua Pemimpin Ekonomi APEC Economic datang ke Malaysia pada November 2020 untuk membincangkan isu-isu yang membabitkan ketahanan APEC, perdagangan dan pelaburan serta kesejahteraan ekonominya.

Beliau berkata Pasca Wawasan 2020 bagi APEC, yang Malaysia akan lancar tahun depan, akan mencarta hala tuju masa depan APEC bagi memastikan ia terus relevan di bawah pendekatan lebih inklusif.

"Ia akan dibangunkan bersandarkan kepada Matlamat Bogor serta tokonan nilai dan melengkapkan usaha APEC selama 30 tahun lepas dan memulihkan statusnya sebagai forum ekonomi utama bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.

APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk meningkatkan kesalingbergantungan di Asia Pasifik dan bertujuan mewujudkan kemakmuran yang lebih luas dengan mempromosikan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terjamin, dan mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.

-- BERNAMA

Kongsikan: