SEMASA

Malaysia Tergolong Antara Negara Teratas Dalam Pencapaian Pendidikan Kepada Wanita – TPM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia tergolong antara negara teratas dalam pencapaian pendidikan kepada kaum wanita, yang berpandukan Laporan Jurang Gender Global 2018, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, pada 2018, kadar penglibatan wanita dalam pendidikan tinggi ialah 48 peratus berbanding 38 peratus lelaki.

"Saya gembira melaporkan beberapa kemajuan yang dicapai Malaysia dalam Laporan Jurang Gender Global 2018.

… dan wanita secara konsisten lebih cemerlang daripada lelaki dalam penilaian standard pembelajaran, termasuk dalam matematik dan sains,” katanya dalam video rakaman ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pleno bertajuk "Pembebasan Wanita Berpotensi Penuh” sempena Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia (SDG) 2019 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf Malaysia menjadi pemimpin dunia dalam menggalakkan remaja perempuan dan wanita untuk menyertai bidang sains.

Melihat kepada dunia secara keseluruhannya mendapati penyelidik wanita tidak ramai, tetapi di Malaysia ia agak berbeza kerana hampir separuh daripada para penyelidik Malaysia terdiri daripada wanita.

Meskipun pencapaian itu diperoleh, Malaysia masih terus bergelut untuk membebaskan wanita yang berpotensi penuh dapat melepasi pencapaian dalam pendidikan.

Beliau menyentuh berhubung kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang mencatatkan 55.2 peratus, yang menunjukkan wanita mewakili sumber bakat yang kurang digunakan bagi Malaysia yang berusaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.

Di seluruh dunia, wanita dibebankan dengan “beban berganda”, iaitu, wanita menyertai sama dalam pekerjaan berbayar tetapi membelanjakan nisbah lebih besar masa mereka dalam kerja penjagaan tidak berbayar berbanding lelaki.

Atas sebab-sebab ekonomi, sesetengah wanita ini membuat keputusan untuk bekerja dalam sektor tidak formal, terdedah kepada risiko keselamatan, kebajikan dan pendapatan yang dilindungi.

"Walaupun kami telah meningkatkan tenaga kerja wanita sejak 2010, masih terdapat jurang signifikan antara peluang ekonomi lelaki dan wanita.

“Ini adalah isu yang kementerian saya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, sedang mengkaji secara terperinci, katanya dan menambah bahawa banyak kajian membuktikan kes ekonomi bagi menutup jurang ini.

Bank Dunia berpendapat mengalihkan halangan terhadap penyertaan ekonomi wanita boleh meningkatkan pendapatan perkapita sebanyak 23.7 peratus dalam jangka pendek dan sehingga 26.2 peratus dalam jangka panjang.

"Ini bererti satu purata perolehan pendapatan kira-kira RM9,400 bagi setiap rakyat Malaysia setiap tahun,” katanya.

Beliau menekankan bahawa menjadi keutamaan kerajaan untuk menangani sumber perbezaan jantina.

Satu daripada bidang yang menawarkan potensi cemerlang ini ialah penggunaan teknologi bagi menggalakkan pemerkasaan remaja perempuan dan wanita.

“Kementerian saya secara aktif menerokai peralatan teknologi baharu bagi memperbaiki dasar dan intervensi kami seperti penyebaran bahan mengenai seksual dan kesihatan kelahiran menerusi aplikasi kami mobil Kafe@teen; mengumpulkan input awam mengenai gangguan seksual menerusi kajian dalam talian yang dikongsi dalam media sosial, dan pemetaan kedudukan pelbagai isu sosial termasuk mengandung pada usia remaja,” katanya.

Beliau menambah kata Kerangka Penyepaduan Gender oleh kementeriannya, dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memberi tumpuan terhadap peranan utama data seks-mengikut pecahan gender dalam mengintegrasi perspektif gender dan sasaran ke dalam semua perancangan dan belanjawan kerajaan.

Usaha ini mencerminkan akan kepentingan penyepaduan gender ke dalam seluruh 17 SDG, katanya.

Pada September 2015, semua 193 negara anggota PBB sebulat suara menerima Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan pelaksanaan kerangkanya. Carta SDG secara terperinci menggariskan langkah ke depan bagi memastikan satu masa hadapan yang lestari untuk orang ramai, planet, keamanan dan kesejahteraan.

Agenda 2030 adalah perancangan paling transformatif dan bercita-cita tinggi pernah digubal oleh komuniti global dengan 17 matlamat, 169 sasaran dan 232 indikator-yang menyeimbangkan ekonomi, sosial dan tunggak pembangunan alam sekitar.

-- BERNAMA

Kongsikan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *