SEMASA

Melaka Tubuh Jabatan Pendidikan Islam – Ketua Menteri

MELAKA, 2 Jan (Bernama) — Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan Jabatan Pendidikan Islam Melaka bagi memberi fokus pada pembangunan sektor berkenaan secara lebih menyeluruh dan mampan, selewat-lewatnya Mac depan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Katanya jabatan itu akan diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menyelia dan menyelaras sistem pendidikan Islam melibatkan Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sekolah Agama Rakyat, dan sekolah agama swasta didaftar di bawah JAIM termasuk sekolah atau pusat tahfiz.

“Sekarang ini, semua sistem pendidikan Islam diselia oleh JAIM namun seperti kita sedia maklum JAIM mempunyai banyak tanggungjawab atau tugas yang perlu diuruskan termasuk menyelia pelbagai institusi Islam termasuk masjid serta mengurus pegawai syarak dan sebagainya.

“Bebanan kerja itu boleh memberi kesan kepada pengurusan yang lebih baik dan berfokus. Selain itu, penubuhan jabatan ini juga bertujuan mengurangkan birokrasi ke arah pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau hari pertama persekolahan sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin, Bukit Katil di sini yang turut dihadiri  Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Abu Bakar Sahari dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin Jamilah Ishak.

 

Adly berkata kertas kerja penubuhan Jabatan Pendidikan Islam Melaka itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat lembaga MAIM.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri Melaka akan meluluskan peruntukan kira-kira RM900,000 yang dipohon Jabatan Pendidikan Melaka untuk meneruskan pelaksanaan program tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah bagi sesi 2019.

“Pada tahun lepas peruntukan yang diluluskan untuk program tuisyen ini ialah kira-kira RM700,000 dan pada tahun ini permohonan yang diterima meningkat kepada RM900,000. Peruntukan ini antara bantuan yang diluluskan kerajaan negeri untuk membangunkan sistem pendidikan negeri,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pada tahun lepas, pelbagai bantuan persekolahan lain turut disalurkan melibatkan peruntukan RM336,000 bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Katanya sistem pendidikan penting dalam melahirkan generasi pelapis negara yang berilmu dan mempunyai ciri positif sebagai modal insan yang berwibawa untuk meneraju kepimpinan negara pada masa hadapan.

— BERNAMA

Kongsikan: