SEMASA

Mengenakan Sekatan Ke Atas Negara Lain, Bertentangan Dengan Undang-Undang – PM

BANGKOK, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar tindakan negara tertentu mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara lain, dengan menyatakan langkah itu bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata mengenakan sekatan tidak sahaja menjejas negara terlibat tetapi juga memberi impak negatif kepada negara-negara lain yang berdagang dengan negara yang menghadapi sekatan.

“Bila kamu kenakan sekatan, ia menentang undang-undang. Tidak ada peruntukan di PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) bila sesebuah negara tidak puas hati dengan negara lain, ia boleh mengenakan sekatan ke atas negara itu dan juga negara-negara lain yang berdagang dengan negara yang disekat.” katanya kepada media Malaysia di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini.

Dr Mahathir berkata walaupun isu sekatan tidak disebut pada sidang kemuncak itu, ia telah juga menjejas negara-negara lain.

“Malaysia kini dikenakan sekatan, kerana kita tidak boleh berdagang dengan rakan perdagangan kita yang besar, Iran. Negara-negara lain juga menerima layanan serupa.

“Jadi di bawah undang-undang apa? Mereka banyak bercakap mengenai kedaulatan undang-undang; banyak bercakap mengenai perdagangan berpandukan peraturan tetapi orang yang bercakap mengenai perkara itu atau mencipta idea tersebut, jugalah yang tidak mematuhi prinsip mereka sendiri,” kata beliau.

Walaupun Dr Mahathir tidak menyebut negara yang mengenakan sekatan ekonomi, Amerika Syarikat telah melaksanakan sekatan ekonomi dan perdagangan terhadap Iran ekoran program nuklearnya.

Awal minggu ini, perdana menteri berkata Malaysia didesak oleh pihak tertentu agar menutup akaun bank individu dan syarikat-syarikat Iran di Malaysia berikutan sekatan ke atas Iran itu.

Dr Mahathir juga berkata isu perang dagang AS-China telah dibincangkan pada sidang kemuncak hari ini, dengan pemimpin-pemimpin itu melahirkan pandangan berat mereka terhadap perbalahan yang tidak ada tanda akan berakhir.

“Ya. Mereka semua berpendapat ini mengganggu pertumbuhan perdagangan dan ekonomi mereka.

“Mereka mahukan sebuah dunia yang aman di mana mereka boleh berdagang dengan negara lain,” katanya dan menambah China sendiri mahu menamatkan isu itu.

Perdana menteri berkata perang dagang boleh berlarutan selama sekurang-kurangnya lima tahun lagi jika Presiden AS Donald Trump dipilih semula tahun depan.

Awal hari ini, Dr Mahathir menyertai tiga sidang kemuncak, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-16 dan Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-10.
Menyentuh mesyuarat kumpulan dengan India, Dr Mahathir berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk terus mempertingkat kerjasama termasuk interaksi bilateral, perdagangan dan pelancongan.

“(Dengan) India, pada asasnya tidak ada masalah. India positif dalam isu-isu itu dan saya harap ini akan diterjemah (kepada tindakan) oleh India dan ASEAN,” kata beliau.

Tentang mesyuarat dengan delegasi PBB diketuai oleh setiausaha agungnya António Guterres, perdana menteri berkata beliau sekali lagi menonjolkan isu kuasa veto badan dunia itu.

Beliau berkata di mesyuarat itu, buat pertama kalinya, Guterres turut bersetuju dengan beliau tentang perlunya menangani dan mengambil tindakan terhadap ancaman keganasan dengan melihat pada punca sebenar.

Guterres juga menyentuh isu perubahan iklim dan kesannya di rantau ini, terutama kenaikan paras laut yang mengakibatkan beberapa pulau hapus.

Sidang kemuncak tiga hari itu berakhir esok.

-- BERNAMA

Kongsikan: