bberitaSEMASA

MPOB, AladdinStreet Partners Akan Tingkatkan Pasaran Minyak Sawit

KUALA LUMPUR, 14 Nov  (Bernama) — Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi Institut Perkhidmatan Penyelidikan dan Teknikal Mintak Sawit MPOB di China serta AladdinStreet China, menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia menerusi platform e-dagang di republik itu.

Menerusi  perkongsian itu, AladdinStreet China akan meluluskan pendaftaran percuma bernilai RM191,423.29 kepada 10 pengeksport pertama minyak sawit Malaysia atau pedagang yang berjaya menyertai platform itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mah Siew Keong, yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua entiti itu hari ini, berkata peserta industri wajar merebut peluang untuk berada dalam e-dagang menerusi platform yang disediakan oleh AladdinStreet China dalam mengukuhkan pasaran mereka di sana.

“Penduduk China kini lebih 1.5 bilion manakala AladdinStreet mempunyai strategi pemasaran yang sangat kukuh dalam membantu pedagang memasarkan produk mereka menerusi e-dagang.

“Saya yakin kerjasama ini akan berjaya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Kongres Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2017 di sini hari ini.

MPOB dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu dicapai dengan memanfaatkan insentif dan kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan China menerusi inisiatif Satu Jalur satu Jalan bagi e-dagang, yang antara lain meliputi cukai keutamaan yang kompetitif dan kemudahan gudang percuma di zon perdagangan bebas yang dikenal pasti di China dan sistem logistik yang menguntungkan dari segi kos.

PIPOC 2017 selama tiga hari yang bermula hari ini, dihadiri lebih 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

 

— BERNAMA

Kongsikan: