SEMASA

NFCP Bentuk Persaingan Sihat Antara Pemain Industri Telekomunikasi

MELAKA, 10 Jan (Bernama) — Model infrastruktur internet jalur lebar berkelajuan tinggi yang dibangunkan melalui projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dilihat  mampu membentuk persaingan sihat antara pemain industri telekomunikasi terutama ‘penyedia rangkaian perkhidmatan’ dan ‘penyedia rangkaian gentian optik’.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee berkata  persaingan sihat antara pemain industri telekomunikasi itu penting dalam  memberi perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan yang seterusnya menguntungkan rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan teratur dan mampan NFCP dilihat dapat mengurangkan kos pemasangan gentian optik untuk penyediaan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi  terutama di kawasan luar bandar selaras dengan dasar kerajaan bahawa internet adalah hak asas semua rakyat dan bukan keistimewaan kumpulan tertentu sahaja.

“Di Malaysia, kita mempunyai kira-kira 30 pembekal internet jalur lebar yang boleh menjalankan kerja pemasangan gentian optik. Mereka berhak bersaing sesama sendiri untuk menyediakan pakej internet mengikut kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Apa yang penting bagi saya ialah mereka tidak terlebih caj dan perkhidmatan internet kelajuan tinggi itu mampu dimiliki rakyat,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Pelaksanaan NFCP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diteraju Menterinya Gobind Singh Deo yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Projek perintis NFCP dilaksana Tenaga Nasional Berhad di tiga kawasan di Jasin dekat sini iaitu Felda Tun Ghafar Kemendor, Taman Merbau dan Taman Maju.

Kerk berkata masalah utama penyediaan internet oleh pemain industri telekomunikasi pada masa ini adalah kemampanan ekosistem industri itu iaitu bagaimana membekal internet berkualiti dengan liputan meluas kepada rakyat, dalam masa sama memberi impak positif dalam aspek perniagaan pemain industri itu.

“Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam isu ini kerana ia adalah masalah ekosistem dalam industri internet itu sendiri kerana penyediaannya memerlukan satu proses yang agak rumit dan pelaburan yang besar.

“Ini termasuk untuk memasang gentian optik, kerja menggali tanah dan permit kebenaran untuk proses berkenaan. Saya harap model NFCP ini dalam menjadi satu mekanisme untuk memberi lebih kemampanan kepada industri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kerk berkata pembangunan NFCP yang mampan mampu mengubah struktur ekonomi dan sosial ekonomi setempat sekali gus memberi pelbagai kesan langsung kepada kehidupan rakyat secara menyeluruh selaras denngan perubahan landskap digital.

Katanya, ini kerana sebelum ini, penggunaan internet hanya untuk tujuan mendapatkan maklumat dan mengisi masa lapang dengan menonton video atau berkomunikasi namun perkhidmatan itu kini dapat digunakan secara lebih meluas dalam aktiviti seharian.

“Internet kini menjadi satu keperluan khususnya bagi industri perubatan, perniagaan dan perkhidmatan termasuk sektor kerajaan kerana ia melibatkan perkongsian atau penyimpanan data besar atau ‘big data’ dan ‘internet of things’ (objek rangkaian internet),” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan: