SEMASA

Operasi Di Pasir Gudang Libatkan Pelbagai Agensi Persekutuan – Hanipa

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Usaha pengurusan dan mitigasi di kawasan Pasir Gudang yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia kini melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seperti situasi darurat, walaupun setakat ini tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di kawasan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata antara agensi Kerajaan Persekutuan yang terlibat dalam menangani kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Turut terlibat dalam operasi pengurusan krisis itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Kementerian Pendidikan yang telah berada di lokasi kejadian bagi tujuan operasi.

“Krisis itu sedang ditangani Kerajaan Negeri dan sehingga kini ia (Kerajaan Negeri) tidak meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

“Buat masa ini kami diberitahu, mereka kata boleh lagi mereka selesai, tidak perlu rujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, arahan 20,” katanya menggulung perbahasan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Usul tergempar itu dikemukakan Hassan Abdul Kasim (PH-Pasir Gudang), dibahaskan oleh empat anggota Parlimen dan digulung enam Menteri berkaitan.

Hanipa berkata Jawatankuasa Pengurusan Negeri Johor yang bermesyuarat pada Rabu telah membuat keputusan bahawa Kerajaan Negeri masih boleh mengawal dan menangani isu ini.

Katanya, agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan krisis itu juga berpandangan tahap isu masih belum mencapai tahap bencana untuk diisytiharkan darurat bencana.

"Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan sungai yang terlibat dengan secepat munngkin.

"Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga yang terlibat dalam bencana itu berdasarkan senarai yang telah diputuskan oleh pegawai daerah," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam penggulungannya berkata, Tim Tinjau Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) dan Tim Casually Evacuation Unit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan ke sekitar kawasan yang terjejas untuk mengesan, mengenal pasti dan menyahkan sisa kimia itu.

“(Unit-unit itu) berada di sana dan keadaan yang berlaku itu memang kami lihat serius. Pihak tentera bersedia bila-bila masa mengikut keperluan sama ada dalam biasa atau darurat akan bertungkus lumus (membantu) membaik pulih kawasan itu.

“Inilah komitmen daripada pihak kami untuk bekerja di sana dan kesemua unit yang saya sebut tadi berada di sana. Jikalau ia perlu dari semasa ke semasa kami boleh tambah unit lain untuk membantu kawasan yang terlibat itu termasuk mangsanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain bantuan perubatan dan pemeriksaan, kementerian juga membuat pemeriksaan makanan bagi memantau tahap keselamatan makanan di kawasan terlibat.

“Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan penelitian terhadap risiko bagi mengenal pasti air sungai di kawasan terlibat tidak mencemari kawasan tadahan air minuman,” katanya.

Beliau turut menegah orang ramai melihat proses pembersihan sungai yang dibuat kerana dikhuatiri proses itu akan menyebabkan lebih banyak bahan kimia meruap.

“Kita berdepan dengan situasi chemical disaster yang belum pernah disaksikan dan dialami… bercakap memang mudah dari sudut mendapatkan SOP tetapi sesungguhnya dalam hal ini tidak ada SOP yang saya tahu yang boleh kita gunakan, oleh itu sangat mustahak untuk setiap orang yang bertindak untuk mengambil langkah-langkah mitigasi,” katanya.

Sejak insiden pada 7 Mac sehingga semalam, lebih 1,000 kes mangsa dilaporkan mengalami pelbagai simptom termasuk respiratori.

Dr Dzulkefly berkata, 397 orang dimasukkan ke wad dengan 13 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Buat masa ini tinggal tujuh pesakit masih di ICU, dua kes di high dependency unit (HDU) dan 382 di wad biasa… daripada jumlah yang dimasukkan ke wad, 70 kes telah pun discaj. Setakat ini, tiada kes kematian akibat keracunan bahan kimia ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen untuk menjelaskan mengenai krisis pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim termasuk bagaimana ia bermula.

Penjelasan juga perlu diberi berhubung dakwaan punca kelewatan tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani krisis berkenaan, langkah-langkah menangani kesan jangka masa panjang kes itu terhadap Pasir Gudang dan sekitarnya, dan mengenalpasti segala kelemahan yang mesti segera diperbaiki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Langkah itu perlu kerana tragedi di Pasir Gudang telah menjadi krisis pencemaran dan jenayah biokimia yang serius, dan pada skala yang memerlukan segala daya usaha dan perhatian Kerajaan Pusat, katanya.

Kerajaan juga perlu melantik seorang jurucakap yang khusus bagi menyalurkan segala maklumat yang sahih, tepat dan pantas bagi mencegah pencegahan penularan berita palsu, tambah beliau.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya telah menggerakkan jentera parti yang terdiri daripada Khidmat Malaysia dan petugas Jabatan Amal Malaysia ke lapangan untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat.

"Semua pihak perlu bersegera untuk mengawal keadaan di Pasir Gudang bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat keseluruhannya. Semoga Allah melindungi kita semua," katanya.

-- BERNAMA

Kongsikan: