SEMASA

Orang Ramai Disaran Pakai Topeng Muka Yang Sesuai Semasa Jerebu

SHAH ALAM, 11 Sept (Bernama) -- Orang ramai terutamanya kanak-kanak, warga emas dan individu bermasalah pernafasan disaran menggunakan topeng muka yang sesuai, sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan kesan kepada kesihatan susulan negara dilanda jerebu kini.

Saranan itu dinyatakan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim, yang memaklumkan terdapat dua jenis topeng muka dijual di pasaran iaitu jenis topeng muka pembedahan atau ‘surgical mask’ dan topeng muka N95.

“Dalam situasi jerebu sekarang ini, partikel saiz jerebu adalah 2.5 mikron dan topeng yang sesuai untuk digunakan adalah jenis surgical mask.

“Selain memakai topeng muka ketika berada di luar rumah, orang ramai juga dinasihatkan minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, basuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan atau menghadiri aktiviti luar, dan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa farmasi yang menjual topeng muka di sekitar bandar raya Shah Alam mendapati barangan berkenaan laris dijual sejak beberapa hari lepas.

Rata-rata farmasi yang dikunjungi mempamerkan topeng muka di tempat yang mudah dilihat oleh pelanggan, antaranya di kaunter pembayaran dan disusun berhampiran dengan pintu masuk premis.

Pemerhatian Bernama juga mendapati topeng muka jenis ‘surgical mask’ dijual pada harga antara RM3.80 hingga RM4 bagi 10 unit topeng muka.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah ketika musim jerebu ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata mana-mana peniaga yang didapati melakukan perbuatan berkenaan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Terdapat lima jenis topeng muka yang telah ditetapkan pada harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal iaitu topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga); topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan (gelung telinga); topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala); dan topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala).

“KPDNHEP Selangor juga mengingatkan peniaga bahawa topeng muka (pembedahan/perubatan) N95 harus dijual pada harga runcit iaitu RM6 seunit,” katanya.

Tambah Muhamad Zikril Azan, kelima-lima jenis topeng muka yang dikawal harganya secara perundangan ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebarang perlanggaran peruntukan di bawah akta ini bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Adalah diingatkan juga, bagi jenis topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimumnya, KPDNHEP masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (jika terdapat kenaikan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah)," katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini, KPDNHEP Selangor tidak ada menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga topeng muka itu namun pihaknya melalui bahagian penguatkuasa sentiasa melakukan pemantauan dan memastikan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga ingkar.

Dalam pada itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang, IPU di enam kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat dengan Shah Alam mencatat bacaan 145, Klang (137), Banting (133), Johan Setia, Klang (183) dan Petaling Jaya (142) dan Kuala Selangor (133)

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-- BERNAMA

Kongsikan: