SEMASA

Paskal Tingkat Jumlah Pengambilan Anggota Hadapi Ancaman Maritim

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Bilangan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan ditingkatkan dua kali ganda daripada jumlah sedia ada bermula tahun ini.

Panglimanya Laksamana Pertama Anuar Alias berkata kekuatan pasukan elit itu, yang bilangannya dirahsiakan, perlu ditingkatkan berikutan ancaman semasa maritim yang dilihat semakin mencabar.

“Saya telah diarahkan untuk menambah jumlah kekuatan sedia ada dan pelbagai pendekatan dilakukan.

“Pendekatan saya adalah transformasi kursus asas komando. Daripada 25 sahaja yang berjaya bagi setiap pengambilan sebelum ini, kami boleh tingkatkan dengan transformasi sistem latihan yang kami laksanakan tanpa menjejaskan kualiti hasil yang kami mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Kolaborasi TLDM Hasilkan filem PASKAL’ terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Anuar berkata setiap anggota Paskal perlu melepasi tiga kursus iaitu kursus asas komando, kursus penyelam kapal dan kursus asas payung terjun yang memerlukan ketabahan dan jiwa yang kental.

“Kalau anggota tidak cukup tabah dan kental jiwa, selalunya mereka tidak boleh melengkapkan ketiga-tiga kursus ini jadi ada yang baru lulus dua kursus sudah menarik diri ataupun disebabkan masalah kesihatan selain kecederaan,” katanya.

Ditanya sama ada Paskal yang ditubuhkan pada 1 Ok 1982 akan pertimbangkan penglibatan anggota wanita, Anuar berkata setakat ini pihaknya belum bersedia namun ia boleh diusahakan bermula dengan penyelam wanita.

Filem Paskal, hasil inspirasi kisah sebenar bagi mengetengahkan kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada 1998 selain misi menyelamatkan kapal dagang MT Bung Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011, diharapkan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai pasukan itu, katanya.

Antara aset tentera yang dapat disaksikan menerusi filem itu termasuk kapal ronda (PV), bot tempur CV90,  pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), Kapal Bunga Mas 5 di perairan pantai Timur Sabah, helikopter Fennec, pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal selam Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman, katanya.

Filem arahan Adrian Tan yang menjalani penggambaran di Lumut, Perak; Semporna, Sabah dan Mahgribi itu menampilkan pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

— BERNAMA

Kongsikan: