SEMASA

Penagih Dadah Cuba Guna Pedang Samurai Mahu Loloskan Diri

LUMUT, 13 Mac (Bernama) — Gara-gara mahu meloloskan diri​​, seorang penagih dadah hampir mencederakan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung menggunakan pedang samurai ketika agensi berkenaan melakukan serbuan di rumahnya di Simpang Dua, Sitiawan di sini hari ini.

Pegawai AADK Daerah Manjung Sharudin Abdul Salam berkata bagaimanapun ketangkasan empat anggota termasuk pegawai AADK berkenaan telah berjaya menahan lelaki berumur 35 tahun itu kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa itu sedang tidur dan bertindak agresif apabila anggota AADK cuba menahannya.

“Suspek dilihat tidur bersama beberapa bilah senjata tajam seperti pedang samurai, pisau rambo dan pisau dapur biasa.

“Apabila anggota kita cuba menangkapnya, suspek mahu membuka sarung pedang samurai dipercayai untuk melibas anggota bertugas namun tidak sempat apabila gerak-geri suspek dapat dibaca oleh anggota terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sharudin berkata hasil siasatan mendapati suspek telah terlibat dengan aktiviti penagihan dadah kira-kira 10 tahun lepas dan tangkapan dibuat berdasarkan aduan orang awam.

“Dalam serbuan ini kami turut merampas senjata tajam berkenaan yang dikatakan disimpan sebagai hobi,” katanya.

Sharudin berkata pihaknya juga turut menahan seorang lagi suspek iaitu remaja lelaki berumur 17 tahun yang terlibat dengan penagihan dadah dalam serbuan di Kampung Deralik, Sitiawan pada 8 pagi tadi.

“Remaja ini dikatakan baru berjinak-jinak dalam aktiviti penagihan dadah,” katanya.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

— BERNAMA

Kongsikan: