Uncategorized

Pengundi Baharu Lahad Datu Teruja Laksana Tanggungjawab

LAHAD DATU, 24 April (Bernama) — Rata-rata pengundi baharu di Lahad Datu yang akan melaksanakan kewajipan mereka buat kali pertama sebagai pengundi pada 9 Mei, begitu teruja untuk menunaikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Mereka  berhasrat untuk mengundi dengan penuh rasa tanggungjawab demi masa depan negeri Sabah dan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Ada juga yang mengakui, semasa tinjauan Bernama, bahawa mereka merasa agak gementar untuk melalui pengalaman pertama mengundi menjelang hari pengundian.

Rahimah Rahim, 25, seorang pekerja swasta berkata pengundi baharu termasuk dirinya perlu membuat pilihan bijak dengan mengundi dan memilih kerajaan yang tidak akan membebankan rakyat, yang akan menerajui kepimpinan negara dan negeri dengan baik.

“Pilih kerajaan yang boleh membawa kemajuan hebat kepada negeri ini di samping lantang menyuarakan hak masyarakat Sabah,” katanya.

Muhammad Izzmir Nolsen, 25, yang turut berkongsi keterujaan untuk mengundi buat kali pertama, tidak teragak-agak menyatakan kecenderungannya untuk mengundi calon Barisan Nasional.

Walaupun  terdapat parti politik ‘baru  naik’ namun BN memiliki aura tersendiri dan lebih dekat di hati rakyat, katanya.

“Kita (rakyat) sudah memahami sifat kepimpinan yang ditonjolkan wakil-wakil rakyat yang lalu dan  mereka ini konsisten membantu rakyat dan akan sentiasa menang di hati rakyat,” katanya.

Suri rumah, Nurshazella Amsain, 23, berkata PRU14 adalah pilihan raya pertamanya dan untuk undian sulungnya beliau memilih parti pemerintah sedia ada.

“Calon yang menang diharap dapat membawa pembangunan daerah dan mensejahterakan rakyat  khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Tungku,” katanya yang akan mengundi di Pusat Daerah Mengundi Tungku.

Lahad Datu mempunyai satu kerusi parlimen iaitu Silam dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Lahad Datu dan Tungku.

— BERNAMA

Kongsikan: