SEMASA

Persatuan Nasihati Masyarakat Berhati-hati Dengan Ahli Fisioterapi Palsu

MELAKA, 26 Sept (Bernama) — Persatuan Fisioterapi Malaysia menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila didatangi individu yang mendakwa mereka ahli fisioterapi bertauliah.

Presidennya Yew Su Fen berkata persatuan itu yang mewakili 980 anggota, menerima banyak aduan  berhubung individu mendakwa mereka ahli fisioterapi bertauliah namun menunjuk ajar teknik  senaman  yang salah yang boleh mendatangkan kecederaan serius.

“Orang ramai harus menyemak dan mengesahkan kelayakan individu yang mendakwa mereka ahli  fisioterapi bertauliah bagi memastikan mereka memberi preskrib teknik senaman dan program pemulihan yang betul kepada pesakit,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Yew sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Senaman Sebagai Satu Bentuk Rehabilitasi Aktif’ pada Persidangan Sedunia mengenai Perubatan Senaman yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Yew yang berpengalaman hampir 35 tahun dalam bidang fisioterapi, berkata  adalah penting bagi Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 dikuatkuasakan bagi mengawal selia  profesion kesihatan bersekutu, khususnya ahli fisioterapi di negara ini.

Yew yang bersara sebagai ahli fisioterapi kerajaan berkata fisioterapi kini tidak lagi sekadar untuk menghilangkan rasa sakit tetapi turut memainkan peranan penting dalam proses rehabilitasi pesakit yang diserang strok serta mereka yang menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Kita ada 326 ahli fisioterapi di klinik kesihatan kerajaan di negara ini yang menyediakan fisioterapi bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, obesiti dan hipertension menerusi senaman,” katanya, menambah tarikh 8 Sept disambut sebagai Hari Fisioterapi Sedunia setiap tahun.

Ketua Jabatan Fisioterapi Lincoln University College di Petaling Jaya, Dr Ravikumar Katta pula berkata  perlu ada satu badan pemantau di Malaysia bagi memastikan negara ini mempunyai ahli fisioterapi yang bertauliah, cekap serta memenuhi segala keperluan lesen.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dalam  ucapan perasmiannya semalam, menasihati mereka yang ingin bersenam secara tetap agar mendapatkan nasihat pakar dan ahli fisioterapi  memandangkan setiap orang mempunyai kemampuan berbeza.

Beliau juga berkata kira-kira 73 peratus kematian di Malaysia adalah disebabkan NCD dan bersenam  memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak penyakit.

Persidangan itu disertai penceramah dari 35 negara yang membincangkan kira-kira 65 kertas saintifik mengenai sains senaman.

— BERNAMA

Kongsikan: