SEMASA

PM Dr Mahathir Minta Rakyat Beri Sokongan Kepada Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) –  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat supaya memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk seperti mereka menyokong mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Beliau berkata berbeza seperti di sesetengah negara, proses pilihan raya, terutamanya apabila melibatkan pertukaran kerajaan, kerap membawa kepada kekecohan dan ketegangan.

Katanya, lebih teruk lagi, tunjuk perasaan yang melampau, rusuhan dan perang saudara juga akan menyusul, menyebabkan kerajaan tidak dapat ditubuh dan negara terus berada dalam keadaan kucar-kacir.

“Tetapi tidak di Malaysia ini. Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

“Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman ini,” kata Dr Mahathir dalam perutusan Ramadan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Umat Islam di negara ini akan menyambut bulan Ramadan dan menunaikan ibadah berpuasa mulai esok.

“Alhamdulillah, sekali lagi umat Islam di negara bertuah ini dapat menyambut Ramadan dalam keadaan aman, tenteram dan berharmoni.

“Lebih-lebih lagi setelah kita melalui pilihan raya umum baru-baru ini yang membawa perubahan kepada politik dan pentadbiran negara,” katanya.

Bersempena dengan itu, Dr Mahathir berkata umat Islam juga digalakkan supaya bersikap sederhana dalam apa jua tindak tanduk mereka pada bulan Ramadan ini, selain menahan diri daripada lapar dan dahaga serta menggelak daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam, .

“Di samping mengerjakan solat terawih di waktu malam, kita digalakkan membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran di dalam usaha ke arah menjadi ummah yang mengamal cara hidup Islam,” katanya.

Dr Mahathir berkata walaupun umat Islam digalakkan melakukan semua ibadah tersebut untuk selamatkan diri di akhirat, mereka juga harus ingat akan tugas dan tanggungjawab mereka dalam pembentukan masyarakat Islam yang terbaik di dunia.

Katanya, Al-Quran merupakan panduan yang utama bagi umat Islam.

“Panduan yang tidak difahami tidak mungkin menjadikan kita umat Islam yang berjaya,” katanya.

Dr Mahathir berkata pilihan raya yang lepas akan membawa perubahan kepada pentadbiran negara dan pentadbiran agama Islam dan kerajaan Pakatan Harapan juga akan memberi penekanan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

“Insya-Allah dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah subhanahuwataála agar segala tindakan kita diberkati.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat menyambut puasa di bulan Ramadan yang mulia ini,” tambah Dr Mahathir.

— BERNAMA

Kongsikan: