SEMASA

PRK Tanjung Piai Bermula Esok

PONTIAN, 1 Nov (Bernama) — Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula esok dengan proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Proses penamaan itu akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh selama sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan mereka.

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK Zulkifly Mohd Tahir akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding, kira-kira 11 pagi.

Sehingga kini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 27 set borang pencalonan telah pun dijual, dengan kesemua borang dibeli oleh 10 pihak terdiri daripada parti-parti politik utama serta individu.

Tiga daripadanya sudahpun membayar deposit pilihan raya sebanyak RM10,000.

Pada pilihan raya kali ini, Pakatan Harapan (PH) yang membawa misi untuk mempertahankan kerusi tersebut mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calonnya manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai ‘ayam tambatan’ mereka.

Selain dua parti ini, turut mengumumkan meletakkan calon dalam PRK itu ialah Gerakan, bekas parti komponen BN yang mengumumkan keluar parti sejurus kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon yang diketengahkan Gerakan ialah seorang peguam dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional Gerakan, Wendy Subramaniam, 38.

Di samping ketiga-tiga parti ini, Parti Bumiputra Perkasa (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) turut diuar-uarkan meletakkan calon masing-masing namun siapa yang mewakili kedua-dua parti belum lagi diumumkan.

Ini selepas mengambil kira kenyataan dibuat pimpinan kedua-dua parti sebelum ini yang menyatakan akan mengetengahkan calon sendiri sekiranya BN memutus untuk menamakan calon bukan Melayu.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14 Mei tahun lepas, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Tanjung Piai pada 12 Nov manakala hari mengundi pada 16 Nov.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nenas dan Kukup dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih ialah 52,986 orang termasuk 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak Pakatan Harapan mengambil tampuk kepimpinan pusat susulan kemenangan pada PRU Mei tahun lepas.

Kali terakhir pilihan raya kecil diadakan ialah melibatkan PRK Parlimen Sandakan di Sabah pada Mei tahun ini.

PRK Tanjung Piai ini juga merupakan PRK pertama di Johor sejak Pakatan Harapan mentabdir negeri ini.

— BERNAMA

Kongsikan: