SEMASA

Projek Kereta Nasional Ketiga Pacu Industri Auto Bagi Pertumbuhan Seterusnya – MAI

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) – Projek kereta nasional ketiga akan memacu Malaysia ke fasa pertumbuhan seterusnya dalam industri automatif dengan ‘powertrain’ berasaskan bateri dan pengemudian autonomi menjadi teknologi yang dominan serta tumpuan kepada teknologi baharu yang menghasilkan sektor mega baharu dinamakan mobiliti terhubung, menurut Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Madani Sahari berkata sektor mega dijangka wujud berikutan tumpuan kepada teknologi baharu seperti nanoteknologi, telekomunikasi dan pengurusan data raya, manakala sektor seperti pengurusan sumber manusia, pemasaran, perundangan dan perancangan bandar, akan menjadi lebih relevan kepada sektor pengangkutan.

“Fasa seterusnya ini mampu dicapai apabila kita mempunyai projek kereta nasional dan mempunyai peluang untuk memaksimumkan penyertaan bakat tempatan dan perniagaan, khususnya aktiviti penyelidikan dan pembangunan,” katanya dalam laman web MAI hari ini.

Beliau berkata, ia akan meningkatkan keupayaan dan  penguasaan teknologi secara menyeluruh, sejajar trend global berkaitan digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan nano, data sains dan bidang lain pada masa akan datang.

“Untuk menjadi negara yang hebat, Malaysia perlu mencontohi negara-negara besar dunia dalam menguruskan sains dan teknologi. Negara seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun merupakan pemimpin dalam pasaran dunia dengan hanya sedikit kebergantungan terhadap komoditi dan sumber alam semula jadi yang semakin jarang ditemui,” katanya.

Walaupun projek kereta nasional sebelum ini memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada Malaysia, beliau berkata kereta nasional ketiga ini adalah pemacu keseluruhan yang merangkumi agenda sains dan teknologi.

“Sektor automotif ini terkenal sebagai ibu kepada semua industri kerana ia berkembang kepada mekanikal, kimia, elektrik, elektronik, bahan dan teknologi maklumat dan sebagainya –  penumpuan sains yang disebutkan di atas  bersama pembuatan, perkhidmatan dan kewangan terhadap sektor mega yang komprehensif,” katanya.

Mengenai syarikat-syarikat kereta nasional sedia ada, Madani berkata Proton dan Perodua, kedua-duanya menyumbang kepada industri negara dengan Perodua muncul sebagai pemegang saham domestik terbesar.

Beliau berkata Perodua mempunyai pelan eksport yang agresif pada masa depan dan kini berkemampuan mempunyai gaya dalaman dan jurutera bagi model terbaharu mereka.

Sementara itu Proton pula sentiasa menjadi pemimpin dalam kejuruteraan dan pembangunan kenderaan walaupun saham pasaran mereka berkurangan akibat persaingan yang sengit.

“Pada pandangan saya, pelan pemulihan mereka sudah menunjukkan isyarat bahawa ia akan berhasil dalam masa terdekat dan kami kekal komited untuk memudahkan transformasi mereka,” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan: