SEMASA

Proses Peralihan Kuasa Aman, Bukti Amalan Demokrasi Malaysia Berjaya

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Proses peralihan kuasa yang berlaku secara aman tanpa rusuhan membuktikan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang diamalkan oleh negara selama ini, berjaya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada usia 60 tahun, Parlimen Malaysia juga telah berjaya terus kekal sebagai insitusi dan simbol demokrasi yang mewakili suara dan kuasa rakyat.

Menurutnya ia bukan sahaja satu pencapaian yang membanggakan, tetapi perlu dipertahan selagi kerajaan berpegang kepada amalan demokrasi dan yakin suara rakyat itu adalah suara keramat.

“Walaupun berlaku perubahan dari segi parti yang menerajui kerajaan, iaitu yang pertama berlaku sejak merdeka, namun tradisi dan amalan demokrasi terdahulu tetap diterus dan dipertahankan,” katanya ketika berucap di majlis makan malam sempena 60 tahun Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet, Parlimen di sini, malam ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Dr Mahathir berkata sambutan ini juga amat bermakna kerana diraikan selepas lebih setahun Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan bahawa kerajaan yang dipilih tidak boleh memerintah sesuka hati tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Jika amanah itu disalah guna dan bawa keburukan kepada rakyat atau semata-mata dilaksanakan untuk kepentingan peribadi, kerajaan akan dihukum seperti yang telah kita saksikan dalam pilihan raya yang lalu,” katanya.

Ingatan yang sama juga diberikan kepada wakil rakyat supaya tidak bermegah-megah dengan tanggungjawab yang diberikan sebaliknya, perlu dilaksanakan dengan amanah dan penuh integriti serta saksama, jika mahu terus dihormati.

Ini kerana menurutnya Malaysia baharu yang terbina lebih setahun lalu menuntut pembaharuan dan reformasi besar daripada semua segi, bukan sahaja pentadbiran kerajaan dan cara berpolitik, malah perwatakan sebagai wakil rakyat perlu berubah.

“Jangan merendahkan martabatkan kita, pamerkan sifat baik dan idea konstruktif yang boleh bawa kejayaan. Ahli politik juga perlu mengamalkan politik beretika dan berhujah dengan fakta betul setiap kali berbahas.

“Apa jua tindakan yang dilakukan harus berlandaskan kejujuran dan kebijaksanaan serta elakkan politik dengan pemikiran sempit dan penuh kebencian,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan yang baik akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam sistem pentadbiran dan itulah yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada masa kini selain berusaha memenuhi manifesto yang dijanjikan pada PRU lalu.

“Sistem demokrasi adalah sesuatu yang hidup dan berterusan, undang-undang yang kita perkenalkan suatu ketika dahulu untuk keperluan semasa, ada yang terpaksa kita pinda dan adakalanya dimansuhkan kerana tidak lagi sesuai dengan amalan demokrasi pada masa kini.

“Kerajaan juga dalam proses menyemak dan meminda undang-undang yang dianggap bertentangan dengan semangat demokrasi dan ini akan terus berjalan dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata kehadiran lebih ramai ahli Parlimen muda di Dewan Rakyat di mana 25 peratus daripadanya berumur 45 tahun ke bawah turut membantu kerajaan melakukan reformasi Parlimen kerana mereka lebih terdedah dengan kemahiran dalam teknologi maklumat, seterusnya menjadikan mereka lebih bermaklumat untuk membantu kerajaan menggariskan dasar pentadbiran yang lebih jelas.

-- BERNAMA

Kongsikan: