SEMASA

PUCM Ikuti Perkembangan Semasa Ekonomi Malaysia Menerusi Bernama NewsLink5

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Persatuan Usahawan Cina di Malaysia (PUCM) akan dapat mengikuti peristiwa-peristiwa di Malaysia, termasuk perkembangan ekonomi dan perniagaan negara ini dengan termeterainya perjanjian langganan antara persatuan itu dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), hari ini.

Perjanjian langganan itu ialah untuk perkhidmatan Bernama NewsLink5 yang menawarkan berita masa nyata elektronik mengenai peristiwa di Malaysia dan sejagat.

Ia ditandatangani oleh Presiden PUCM Datuk Keith Li dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Li berharap menerusi perjanjian ini, usahawan-usahawan China akan lebih memahami landskap perniagaan dan pelaburan Malaysia.

“Dengan perjanjian ini kami boleh berkongsi berita perniagaan dan dasar (Malaysia) dengan pelabur China dan meningkatkan keyakinan mereka untuk datang ke sini dan melabur,” katanya selepas menandatangani perjanjian itu di Wisma Bernama, di sini.

Dalam pada itu,  Azman berkata melalui perjanjian tersebut lebih banyak berita dapat disalurkan kepada China dan secara tidak langsung meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua buah negara.

Li berkata PUCM akan terus menjadi sebuah platform untuk mengukuhkan hubungan dagang dua hala antara China dan Malaysia.

Ahli-ahli persatuan, katanya berminat untuk berkongsi antaranya kepakaran dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan membantu menguatkan usaha ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 Malaysia.

“Kami ingin membawa teknologi pintar ke sini dan membantu melonjakkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Li berkata PUCM akan menganjurkan Pameran Perindustrian Pintar China di sini dari 14 hingga 15 Dis ini.

-- BERNAMA

Kongsikan: