SEMASA

Rakyat Perlu Hayati Hari Malaysia, Kukuh Semula Perpaduan

KUCHING, 14 Sept (Bernama) — Seluruh rakyat Malaysia seharusnya membuktikan manifestasi kasih sayang terhadap negara dengan pelbagai cara yang termampu, terutamanya menerusi pengkuhan perpaduan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebarang ketidaksefahaman harus dilupakan bagi meneruskan perpaduan dalam negara yang terjalin sekian lama, namun sedikit goyah kesan daripada kempen berasaskan kaum oleh parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas.

Beliau berkata menjelang dua hari sebelum ketibaan sambutan Hari Malaysia ini, tarikh keramat itu perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sarawak dan Sabah, malahan oleh seluruh rakyat sebagai memperingati detik lahirnya sebuah negara bernama Malaysia.

Katanya pendekatan Jabatan Penerangan Malaysia menganjur pelbagai pameran dan pengedaran bahan bacaan berasaskan kenegaraan dalam bentuk buku kecil dan risalah wajar dipuji.

“Usaha-usaha ini sangat penting dilaksanakan dengan melibatkan masyarakat umum bagi menggelorakan semangat patriotisme, cinta negara, semangat perpaduan dan seterusnya memperkukuhkan jati diri setiap warganegara,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku di ruang pameran bangunan Mydin di sini petang ini.

Pelbagai acara menarik disusun bagi mengisi program sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 selama tiga hari di sini, antaranya pameran sejarah negara, persembahan pentarama, pertandingan Bintang Patriotik, kuiz kenegaraan, sudut tayangan multimedia dan layar bestari.

MyMerdeka Sayangi Malaysiaku dilaksanakan di lima lokasi tahun ini dengan lokasi pertama di Mydin Bukit Mertajam Pulau Pinang, diikuti dengan Mydin USJ Subang Jaya, Mydin Meru Raya, Ipoh; Mydin Mutiara Rini Skudai, Johor dan destinasi terakhir di Mydin Petra Jaya, Sarawak.

Program anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Mydin Mohamad Bhd yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai melalui komunikasi visual yang memaparkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan negara yang bersatu padu dan mengamalkan toleransi antara kaum.

— BERNAMA

Kongsikan: