SEMASA

Seorang Pelajar Maut Terkena Bilah Pisau Pemotong Rumput

GEMAS, 13 Feb (Bernama) — Seorang pelajar perempuan maut  manakala dua lagi pelajar lelaki cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman,  Gemas di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Nur Afini Roslan, 14, pelajar tingkatan dua.

 

“Nur Afini maut selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang sedang  memesin rumput di padang sekolah itu. Manakala dua yang cedera ialah Abdullah Hazlan, 14, pelajar tingkatan dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar tingkatan satu.

“Abdullah cedera di bahagian telinga kanan, sementara Mohd Farhan Reza cedera di bahagian belakang kepala. Mereka yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat, dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca kejadian.

Hamazah berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berada di padang sekolah itu ketika  pemandu  traktor  berkenaan sedang menjalankan kerja memesin rumput di padang sekolah itu.

— BERNAMA

Kongsikan: