SEMASA

Stadium Nasional Terbaik, Tapi Padangnya Menyedihkan – Marwijk

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Selepas berjaya mengelakkan kejutan, dengan menang tipis 2-1 ke atas Malaysia, Ketua Jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Bert van Marwijk memulakan sidang media selepas perlawanan, dengan memuji Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu malam tadi, jurulatih dari Belanda yang membawa negaranya ke Piala Dunia 2010 berkata, stadium berkapasiti 87,000 orang itu merupakan antara yang paling cantik, yang beliau pernah kunjungi.

Bagaimanapun, kegembiraan media Malaysia atas pujian itu tidak lama, apabila jurulatih berusia 67 tahun itu mula menyebut mengenai keadaan padang yang tidak setaraf dengan kecantikan stadium.

“Mulanya, saya mahu mengucapkan tahniah atas stadium yang cantik, antara stadium yang paling cantik yang pernah saya jumpa di seluruh dunia. Namun sayang, kerana kamu ada padang seperti ini, anda tidak boleh bermain bola sepak dengan pantas, juga untuk Malaysia. Sayang sekali, tetapi ini sebuah stadium yang cantik,” katanya.

Kritikan pada keadaan padang bukanlah sesuatu yang baharu, kerana Tan Chen Hoe dan beberapa pemain kebangsaan juga telah memberikan komen yang sama mengenai keadaan padang itu, pada perlawanan ‘playoff’ pertama menentang Timor Leste pada Jun.

Bagaimanapun komen terkini ini hadir selepas sebulan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Tan Sri Tony Fernandes berjanji, untuk memperbaiki keadaan padang sedia ada, dan menjadikannya kepada yang terbaik di Asia, dalam tempoh satu tahun.

Sementara itu bercakap mengenai perlawanan itu Marwijk berkata, selepas memulakan perlawanan dengan buruk, pemainnya yang menduduki tangga ke-65 dunia itu, telah membaiki prestasi mereka dan bangkit untuk mengatasi pasukan Malaysia yang berkedudukan ke-159 dunia, selepas menemui kecatatan dalam taktikal di bahagian kiri pertahanan.

“Bermula separuh masa kedua, kami mendapat masa terbaik dalam permainan. Saya nampak Malaysia masih lagi kepenatan daripada perlawanan dan perjalanan sebelum ini (menentang Indonesia), jadi inilah masanya yang kami ada untuk menjaringkan gol, kerana kami hanya ada beberapa peluang baik pada 15 minit pertama separuh masa kedua.

“Bagaimanapun, apabila jurulatih (Tan Chen Hoe) mula menukar pemainnya, mereka kembali bersemangat dan saya tidak menjangkakan yang mereka akan terus memberikan tekanan pada 15 minit terakhir perlawanan, namun kami bekerja keras dan akhirnya kami gembira untuk menang di sini.

“Ini kerana saya rasa tidak banyak negara yang boleh menang di sini. Kami mempunyai tujuh pemain muda dalam pasukan, tidak mudah untuk mereka, namun banyak yang mereka belajar daripada perlawanan ini,” katanya.

Malaysia memulakan perlawanan dengan medahului melalui tandukan Muhammad Syafiq Ahmad pada 30 saat pertama perlawanan dan mendominasi perlawanan untuk 30 minit, sebelum UAE memastikan kemenangan mereka melalui gol, Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-43 dan ke-74.

-- BERNAMA

Kongsikan: