SEMASA

‘Suara’ Utusan Melayu Berakhir Selepas 80 Tahun Operasi

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Selepas 80 tahun menjadi menjadi wadah dan lidah perjuangan orang Melayu di negara ini, tanggal 9 Okt 2019 menjadi detik pilu bagi Utusan Malaysia apabila terpaksa menamatkan operasinya selepas tidak mampu lagi berdepan masalah kewangan yang semakin tenat.

Berita yang tersebar sejak tengah malam tadi, dan kemudian disahkan pihak pengurusan syarikat itu hari ini, bukan sahaja mengejutkan kakitangannya, malah rakan media daripada agensi lain, serta rakyat negara ini yang kebanyakannya membesar dengan akhbar itu.

Krisis kewangan dihadapi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd itu, yang turut menerbitkan akhbar tabloid Kosmo! bukanlah satu perkara baharu dah ia dilaporkan sudah berlarutan sejak beberapa tahun lepas, apabila tuntutan perjalanan dan beberapa elaun lain sering dibayar lewat kepada petugas, berikutan kemerosotan hasil jualan serta pengiklanan.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang merupakan pemegang saham utama syarikat itu, menambahkan lagi derita akhbar yang lahir pada 29 Mei 1939, apabila parti berkenaan dikatakan tidak lagi menyumbang dana untuk survival akhbar tersebut yang berterusan mencatat kerugian.

Dalam usaha menyelamatkan akhbar yang mencatat setiap detik sejarah negara itu, pengurusan syarikat itu terpaksa mengambil tindakan menghentikan lebih 800 pekerjanya dengan menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dengan harapan ia mengurangkan kos operasi syarikat.

Namun bagaikan serba tidak menjadi, tindakan itu masih gagal menambah aliran tunai syarikat, malah gaji pekerja yang masih berkhidmat mulai tertunggak, begitu juga dengan bayaran VSS kepada pekerja yang berhenti kerja secara sukarela.

Begitu juga dengan langkah untuk menjual aset bagi menampung perbelanjaan turut menemui jalan buntu, apabila kebanyakan bangunan yang dimiliki oleh syarikat itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduk (CF).

Keadaan itu menyebabkan Utusan Melayu pernah dikatakan akan menghentikan operasi pada 20 Ogos lalu, namun dinafikan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, yang kemudian memaklumkan akhbar berkenaan terpaksa menaikkan harga akhbar Utusan dan Kosmo! dalam usaha untuk memberi sinar baharu kepada dua akhbar itu.

Lebih 800 pekerja lagi yang masih tinggal, masih terus setia dengan akhbar diasaskan oleh Presiden Singapura pertama Yusof Ishak yang juga dikenali sebagai ‘Bapa Kewartawanan Melayu’, walaupun ada tidak mendapat gaji hampir tiga bulan, dengan harapan bakal ada sinar di hujung terowong.

Bagi Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, 32, yang sudah berkhidmat selama enam tahun, berkata beliau turut bersedih dengan penutupan operasi syarikat itu dan lebih terkilan semua kakitangan dimaklumkan mengenai perkara itu pada saat akhir.

Beliau berkata kepuasan bekerja di Utusan menyebabkan beliau kekal setia bersama organisasi itu, sehingga ke hari ini walaupun menyedari Utusan sudah tenat sejak pertengahan bulan lalu.

"Kami semua di Utusan bersedih, namun kehidupan perlu diteruskan. Sebelum ini Utusan tidak pernah culas dengan kebajikan pekerja, sebab itu saya tetap bersabar walaupun tidak dibayar gaji dua bulan. Saya tahu keadaan kewangan Utusan tengah bermasalah, tetapi saya yakin pihak pengurusan akan membayar gaji kami.

"Lebih menyedihkan mendengar keluhan rakan-rakan yang sudah berkahwin dan berkeluarga, dugaan mereka lagi berat berbanding saya. Menjadi persoalan, mengapa pihak pengurusan tidak memaklumkan awal kepada kami," katanya ketika dihubungi Bernama.

Hafiz berkata beliau akan merindui rakan sekerja yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Turut berkongsi pandangan sama, Penolong Ketua Biro Kosmo Putrajaya, Nor Idayu Bosro yang menyifatkan persekitaraan kerja yang penuh dengan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga akhbar tabloid itu, menjadi faktor utama mereka terus setia bersama syarikat itu.

Nor Idayu, 32, berkata beliau tidak terkejut mendapat tahu mengenai penutupan operasi akhbar terbitan Utusan Melayu itu, kerana berdasarkan penjelasan pihak pengurusan kepada staf Utusan-Kosmo pada Ogos lalu, jalan terakhir penyelesaian adalah penutupan operasi organisasi tersebut.

“Pada hujung bulan ini akan diadakan townhall, jika diberi peluang untuk berkhidmat dengan Kosmo, saya akan teruskan. Saya tidak berasakan gaji menjadi masalah utama, saya yakin pihak pengurusan akan menjelaskannya,” katanya.

Utusan Melayu menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada 31 Okt ini berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan akhbar berkenaan, tarikh akhir bekerja bagi kakitangan syarikat itu adalah hari ini.

-- BERNAMA

Kongsikan: