SEMASA

Sukan Asia: Sasaran 7-11 Emas Realistik – CDM

PUTRAJAYA, 10 Ogos : Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi yakin kontinjen negara mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas pada temasya berkenaan.

Beliau berkata, sasaran itu realistik kerana ia ditetapkan selepas mengambil kira persiapan rapi, prestasi semasa dan kemampuan atlet negara yang akan beraksi di temasya kedua terbesar dunia selepas itu, yang dijadual berlangsung bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini.

“Sasaran ini datang daripada persatuan sukan itu sendiri…Kami di pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) merumuskan sama ada mereka boleh atau tidak. Ia kerana kalau ditanya, semua nak menang emas, itu mungkin tidak munasabah.

“Kita telah meneliti semua atlet, lihat prestasi mereka untuk enam bulan lepas sebelum menetapkan sasaran. MSN dan ISN juga memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kontinjen negara di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan sasaran tujuh pingat emas dan kedudukan 10 teratas secara keseluruhan kepada kontinjen negara yang dibarisi seramai 426 atlet dan 140 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 40 jenis sukan.

Beliau berkata sukan berbasikal, karate, sepak takraw, pencak silat dan tenpin boling menjadi antara prospek kilauan emas untuk Malaysia, di mana kontinjen negara mempunyai peluang untuk meraih sehingga 11 emas jika bernasib baik.

Abdul Azim berkata, tambahan empat pingat emas boleh diharapkan menerusi sukan seperti wushu, hoki dan pelayaran.

“Kerisauan utama kita ialah kecederaan, bukan atlet sahaja, ada jurulatih juga yang tidak sihat. Bukan kita tidak yakin, tetapi peluang untuk empat emas tambahan itu ada jika atlet bebas dari kecederaan dan faktor lain.

“Saya juga berharap kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seluruh barisan Jemaah Menteri dapat menyuntik semangat atlet kita. Saya rasa ini kali pertama seluruh Jemaah Menteri hadir pada majlis penyerahan Jalur Gemilang,” katanya.

Abdul Azim berkata, hampir kesemua atlet negara selesai menjalani ujian doping pra-temasya yang dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), tetapi laporan akan diterima secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata untuk mencapai kedudukan 10 teratas pada temasya berkenaan, kontinjen negara harus meraih antara sembilan hingga 11 pingat emas.

“Kadang-kadang untuk capai kedudukan 10 terbaik perlukan 11 emas, tetapi secara puratanya perlu meraih antara sembilan hingga 11 emas…Sasaran tujuh emas ini kita yakin berdasarkan prestasi semasa, 11 itu boleh dicapai jika semuanya berjalan lancar.

“Kecederaan atlet itu sesuatu yang normal, kita dah biasa dengan perkara ini. Setiap temasya kita akan ada kecederaan, masalah seperti sakit… Dan setiap kali itu, kontinjen perform above expectations (berprestasi lebih daripada jangkaan).

“Jadi saya harap segala rintangan ini jadi cabaran untuk melakukan yang terbaik.. Seperti yang Perdana Menteri sebut tadi, walaupun Datuk Lee Chong Wei tidak dapat beraksi kerana masalah kesihatan, semangat beliau harus diterapkan dalam diri semua atlet untuk mempamerkan aksi yang terbaik,” katanya.

Pada edisi lepas di Incheon, Korea Selatan, Malaysia menduduki tempat ke-14 selepas meraih lima emas, 14 perak dan 14 gangsa, manakala pencapaian terbaik kontinjen negara adalah di edisi 2010 di Guangzhou, China apabila meraih sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

 

Sumber: frontdesk.com.my

Kongsikan: