SEMASA

Sultan Kedah Mangkat

ALOR SETAR, 11 Sept (Bernama) — Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah mangkat pada 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit di sini.

Almarhum baginda, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Ahmad Bashah berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Ahmad Bashah berkata sepanjang tiga hari bermula hari ini, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

“Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.

Almarhum Sultan Abdul Halim turut melakar sejarah dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 21 Sept 1970 hingga 12 Sept 1975 dan 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

— BERNAMA

Kongsikan: