SEMASA

Sumbangan Usahawan Bumiputera Belum Capai Tahap Boleh Dibanggakan – Menteri

KUANTAN, 14 Feb (Bernama) — Sumbangan usahawan bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, mereka hanya menyumbang kurang 10 peratus kepada KDNK sekali gus menjadi cabaran kepada kementerian berkenaan untuk meningkatkan peratusan itu menerusi perancangan serta hala tuju lebih jelas.

“Tidak mustahil jumlah (peratusan sumbangan kepada KDNK) ini boleh bertambah apabila kita mempunyai pemahaman yang strategik. Kita ada perancangan (untuk meningkatkan peratusan) dan peruntukan dalam Bajet 2019 kepada perusahaan kecil dan sederhana sebanyak RM4.5 bilion di pelbagai kementerian.

“… kementerian ini akan cuba menyelaraskan peruntukan itu sebaik mungkin seperti menerusi program padanan geran atau pembiayaan kadar rendah kepada usahawan, namun ini terpulang kepada mereka (usahawan) untuk mempunyai rancangan dan program sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Nazri Ngah.

Konvensyen itu disertai hampir 1,000 usahawan sekitar Pahang yang turut berpeluang mengajukan permasalahan mereka secara terus kepada menteri.

Mohd Redzuan berkata kementerian itu setakat ini masih menilai dan mendapatkan maklum balas daripada usahawan di peringkat akar umbi, seperti melalui penganjuran kovensyen sebelum melaksanakan penambahbaikan bagi memperkasa pembangunan usahawan.

Beliau berpandangan tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan terdahulu berhubung peratusan rendah penglibatan usahawan bumiputera, kerana masih ada ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap pelaksanaan dasar sebelum ini.

Usahawan bumiputera juga, katanya, sebaliknya perlu lebih berani serta berdaya saing untuk mempelajari dan seterusnya menembusi peluang pasaran antarabangsa, seperti produk makanan halal ke Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Permintaan produk makanan halal ke Tokyo akan memberi impak positif kepada usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam industri makanan halal kerana ia secara langsung dapat membantu melonjakkan eksport negara.

“Data yang kita ada menunjukkan terdapat 300 usahawan yang sudah bersedia eksport dan kita boleh menyesuaikan mereka dengan pembeli selain mewujudkan ekosistem untuk mereka lebih bersedia dari segi aspek logistik, perkapalam dan pusat pengedaran,” katanya.

— BERNAMA

Kongsikan: