SEMASA

Tabung Bantuan Bencana Negara Selaras Bantuan Sumbangan Bencana

CYBERJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menubuhkan Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) untuk menggalakkan orang ramai bersama membantu dalam pengurusan bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 Beliau berkata tabung yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akan dapat membantu kerajaan menyelaras bantuan yang disumbangkan secara telus oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi NADMA berkata pada masa ini, sumbangan bantuan bencana dikendalikan oleh pelbagai pihak dan tiada penyelarasan dibuat.

"Kerajaan ingin menyebarluaskan kewujudan tabung ini bagi menggalakkan sumbangan pihak swasta, badan sukarela serta orang perseorangan atas prinsip pengurusan bencana negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya ketika merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata sumbangan akan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dan penggunaan sumbangan daripada kempen itu akan digunakan selaras dengan tujuan yang dinyatakan oleh Surat Ikatan Amanah KWABBN.

Beliau berkata seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama bukan sahaja kerajaan malah turut melibatkan semua pihak termasuk komuniti.

Dr Wan Azizah berkata kesiapsiagaan masyarakat amat penting untuk diterapkan ke dalam masyarakat supaya menjadi satu budaya dan juga penting untuk masyarakat memahami risiko bencana di persekitaran mereka supaya boleh merancang langkah kesiapsiagaan.

Beliau berkata budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan daripada peringkat pusat, negeri dan daerah, beserta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang perseorangan.

Contoh kesiapsiagaan masyarakat ialah merancang pelan kecemasan bencana untuk keluarga dan komuniti serta mengemas kini profil komuniti setempat terutamanya profil golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak, katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien supaya mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.

Beliau berkata walaupun Malaysia tidak terdedah kepada bencana alam seburuk negara jiran, tetapi perubahan iklim tidak boleh membuatkan orang ramai merasa terlalu selesa atau leka seperti dahulu.

Beliau berkata menyedari kepentingan aplikasi sains dan teknologi sebagai antara keperluan dalam pengurusan bencana, NADMA telah mengambil inisiatif untuk melantik pakar dalam bidang berkenaan daripada swasta dan awam untuk menjadi penasihat kepada agensi itu.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata penubuhan Science and Technology Expert Panel (STEP) diharap dapat membantu kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti.

-- BERNAMA

Kongsikan: