SEMASA

Tiada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Serangan Bom Bunuh Diri Di Kaherah

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) mengesahkan tiada rakyat Malaysia cedera dalam serangan bom bunuh diri di kawasan Al Darb Al Ahmar berdekatan Masjid Al Azhar di Kaherah, malam semalam.

KBMK dalam satu garis panduan keselamatan kepada warga Malaysia di sana berkata setakat ini seramai tiga orang dilaporkan terbunuh iaitu dua anggota polis Mesir dan pengebom bunuh diri itu.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Mesir telah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu dan kawasan berhampiran yang merupakan lokasi tumpuan pelancong.

“Berdasarkan kepada langkah-langkah keselamatan yang telah diambil oleh pihak berkuasa Mesir, keadaan keselamatan semasa di Mesir secara keseluruhannya adalah aman dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KBMK menasihatkan warga Malaysia terutamanya pelajar yang menetap di kawasan Al Darb Al Ahmar sentiasa berwaspada dan mengambil perhatian terhadap situasi keselamatan semasa di kawasan itu termasuk mematuhi segala arahan serta peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa Mesir.

Bagi memohon sebarang bantuan warga Malaysia boleh menghubungi KBMK melalui Setiausaha Pertama (Keselamatan) ASP Ab Azis Hassan di talian + 20 100 359 3244.

“Sebarang pertanyaan sama ada daripada pihak media Malaysia atau Mesir hendaklah disalurkan kepada KBMK melalui talian penting +2 012 0027 6388 atau emelkan ke mwcairo@kln.gov.my,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Kongsikan: